Cape Town: Sengketa dalam industri teksi di bandar ini terus meragut nyawa apabila seorang lelaki ditemukan mati dalam sebuah teksi mini van di Jalan Winnie Mandela, Langa, pada Isnin, menjadikan jumlah keseluruhan korban meningkat kepada tujuh orang sejak beberapa minggu lalu.
Menurut laporan IOL News, serangan terbaharu itu dipercayai ada kaitan dengan keganasan berterusan yang membelenggu industri teksi mini van di Cape Town, khususnya di kawasan Cape Flats.
Kejadian terbaharu itu berlaku hanya beberapa hari selepas dua individu maut dan seorang lagi cedera dalam insiden tembakan berani pada 9 Jun lalu, juga di Langa.
Sebelum itu, empat orang turut terbunuh dalam satu lagi insiden tembakan berkaitan konflik industri teksi di Mfuleni, menambahkan tekanan terhadap keselamatan komuniti setempat yang semakin tergugat akibat keganasan.
Jurucakap polis, Sarjan Wesley Twigg, berkata mangsa dalam insiden Isnin ditemukan di dalam teksi mini van dengan kesan tembakan pada tubuhnya.
“Anggota polis yang tiba di lokasi kejadian mendapati mangsa sudah tidak bernyawa. Petugas perubatan mengesahkan kematian mangsa di tempat kejadian,” katanya.
Twigg berkata, suspek melarikan diri dan masih belum ditahan. Siasatan kini dijalankan oleh Detektif dari Ibu Pejabat Polis Langa yang turut menyeru orang ramai tampil menyalurkan maklumat bagi membantu siasatan kes bunuh itu.
Sementara itu, Kerajaan Wilayah Barat mengecam keras pembunuhan terbaharu yang disifatkan sebagai tragedi yang memberi tekanan besar terhadap industri teksi serta komuniti yang bergantung kepadanya.
Menteri Mobiliti Wilayah Barat, Ricardo Mackenzie, berkata pihaknya tidak akan berkompromi dalam soal keselamatan awam.
“Kita tidak boleh membiarkan ini berterusan. Pembunuhan ini meragut ahli keluarga yang tersayang dan mengancam seluruh industri teksi serta komuniti. Melindungi nyawa dan memastikan keselamatan rangkaian pengangkutan awam kekal menjadi keutamaan misi kami,” katanya dalam satu kenyataan.
© New Straits Times Press (M) Bhd




