Seni resin unik cipta nama Han Artistry

Seni resin unik cipta nama Han Artistry

Puncak Alam: Siapa sangka, daripada sekadar hobi, Noor Hanies Abd Rahman, 32, berjaya membuktikan bahawa hobi boleh menjadi sumber rezeki.

Sejak memulakan perniagaan seni resin Han Artistry pada 2021, beliau mencipta nama dalam dunia seni dengan menghasilkan pelbagai item unik seperti rehal, bingkai gambar, tempat menggantung kunci, dan perhiasan yang memikat hati ramai.

Bermula sebagai seorang pegawai teknologi maklumat, Hanies memutuskan untuk berhenti kerja dan menumpukan sepenuh perhatian kepada bisnesnya sambil menjadi suri rumah.

“Sebelum ini, saya hanya membuat item kecil seperti cincin dan anting-anting untuk diri sendiri.

“Namun, apabila saya kongsikan di TikTok, ramai yang menunjukkan minat dan meminta saya untuk membuatkan mereka item yang sama,” katanya kepada Harian Metro, baru-baru ini.

Setiap item yang dihasilkan oleh Han Artistry adalah 100 peratus buatan tangan (handmade) dan mempunyai keunikan tersendiri.

“Kami menggunakan resin berkualiti tinggi dan setiap reka bentuk adalah hasil daripada permintaan pelanggan, menjadikannya unik dan tidak dapat ditiru,” tambahnya.

Kecantikan dan keunikan hasil seni resin yang dibuat oleh Hanies ini pastinya mampu menambat hati sesiapa yang melihatnya.

Dengan kreativiti yang tidak terhad dan dedikasi yang tinggi, Han Artistry menarik perhatian ramai, termasuk pelanggan di luar negara. 

“Saya pernah menghantar produk ke Singapura, Indonesia, dan Brunei. Ia sangat membanggakan,” ujarnya dengan penuh rasa syukur.

Bagaimanapun, perjalanan Han Artistry tidaklah selalu mudah, kerana beliau tetap berhadapan dengan cabaran yang sama seperti perniagaan lain.

Masalah ruang kerja yang terhad dan proses pengeringan resin yang memakan masa menjadi isu yang perlu diatasi.

“Proses menghasilkan satu item memang mengambil masa, jadi pelanggan perlu bersabar menunggu,” katanya.

Namun, kesabaran ini terbukti berbaloi apabila produknya sampai ke tangan orang kenamaan di negara ini.

Image

Sebagai nasihat kepada mereka yang bercita-cita untuk memulakan perniagaan, Hanies menekankan betapa pentingnya minat dan dedikasi.

“Jika anda mempunyai niat dan minat, jangan tunggu. Mulakan sekarang dan berikan yang terbaik,” katanya.

Dengan semangat yang membara dan kreativiti yang tiada batas, Hanies terus berusaha untuk mengembangkan Han Artistry, sambil berharap untuk memiliki kedai sendiri suatu hari nanti.

Ikuti akaun media sosial Han Artistry di Tiktok.

Mahu memaparkan perniagaan anda di lebih 30 jenama? Media Prima memperkenalkan #MariLokal bagi membantu PKS meningkatkan perniagaan.

Layari laman web REV Media Group untuk mengetahui lebih lanjut.

© New Straits Times Press (M) Bhd

Scroll to Top