'Mereka yang lemah jadi sasaran mudah'

'Mereka yang lemah jadi sasaran mudah'

am@hmetro.com.my

Satu demi satu pendedahan pihak berwajib mengenai kegiatan GISB Holdings Sdn Bhd (GISBH) sejak lebih dua minggu lalu menimbulkan kebimbangan banyak pihak.

Tidak kurang juga ramai yang berterima kasih dengan tindakan tegas Ketua Polis Negara Tan Sri Razarudin Husain yang menggerakkan Op Global bagi menangani isu salah laku dan eksploitasi kanak-kanak.

Terdapat juga kekhuatiran mengenai generasi muda serta mahasiswa yang turut terbabit dalam kegiatan syarikat berkenaan selain tidak ada pendidikan formal, mengundang tanda tanya mengenai masa depan mereka.

SKUAD KHAS METRO AHAD mendapatkan Naib Presiden Siswa, Gabungan Pelajar Melayu Semenanjung (GPMS) MUHAMMAD DANIAL ALIMIN untuk mengupas sejauh mana isu ini memberi kesan kepada mahasiswa

Bagaimana saudara melihat isu GISBH ini memberi kesan kepada generasi muda di negara ini?

Isu yang membabitkan GISBH, berkaitan dengan tuduhan ajaran sesat atau penyimpangan ideologi dan pemikiran dan pegangan agama. Perkara ini membimbangkan yang besar terhadap generasi muda
di negara ini.

Generasi muda yang masih dalam proses mendalami agama kemungkinan boleh terpengaruh dengan ajaran yang menyeleweng, terutama jika mereka tidak mempunyai pegangan agama yang kuat. Ini boleh menyebabkan kekeliruan terhadap prinsip agama yang betul dan boleh menggugat keimanan mereka.

Generasi muda, khususnya mereka yang sedang mencari makna hidup dan identiti, lebih cenderung untuk terjebak dalam ajaran atau doktrin yang nampak menarik atau memberikan penyelesaian mudah kepada masalah hidup mereka.

Ini boleh menjadikan mereka sasaran mudah bagi gerakan yang mempunyai agenda tersembunyi. Isu ini juga dilihat dapat mempengaruhi pemikiran generasi muda, terutama mereka yang mudah terpengaruh dengan ideologi yang menyimpang dari ajaran agama yang sebenar.

Generasi muda, yang sering mencari identiti dan makna dalam hidup, mungkin terdedah kepada ajaran seperti ini jika tidak dibimbing dengan baik.

Isu ini dikongsikan secara meluas di media sosial. Bagaimana mahasiswa boleh memainkan peranan untuk memastikan ia tidak berulang pada masa depan?

Mahasiswa perlu memainkan peranan penting bagi memastikan isu seperti GISBH tidak berulang pada masa depan. Perlu ada sikap kritis dalam menyemak maklumat yang mereka terima, terutamanya di media sosial.

Mereka perlu berhati-hati sebelum berkongsi apa-apa maklumat, memastikan sumbernya sahih dan betul.

Pengetahuan mengenai cara membezakan berita benar dan palsu boleh membantu mengurangkan penyebaran maklumat yang salah.

Mahasiswa boleh membabitkan diri dalam program pendidikan digital untuk mendidik rakan-rakan sebaya mengenai bahaya penyebaran ajaran sesat melalui platform media sosial.

Mereka boleh menganjurkan seminar, bengkel, atau sesi diskusi untuk meningkatkan kesedaran mengenai bahaya maklumat palsu dan manipulasi ideologi di dalam talian.

Mahasiswa melalui kepimpinan di peringkat universiti boleh menjalankan program kesedaran kepada mahasiswa khususnya berkenaan dengan perkara ini.

Mereka adalah golongan terpelajar, maka mereka boleh menjadi ejen perubahan dengan terbabit dalam kempen kesedaran dan dialog berkaitan perkara ini. Ini boleh membantu memberi pemahaman terhadap penyebaran ideologi ekstrem.

Walaubagaimanapun mahasiswa juga boleh bekerjasama dengan pihak berkuasa seperti jabatan agama, polis, atau Kementerian Komunikasi untuk melaporkan sebarang aktiviti atau maklumat yang mencurigakan di media sosial dan kampus mereka.

Ini boleh membantu dalam proses pemantauan dan tindakan terhadap mana-mana pihak yang menyebarkan ajaran sesat.

Secara umumnya, adakah mahasiswa terbabit dengan gerakan seumpama ini?

Mahasiswa mungkin terbabit secara tidak langsung atau dengan sengaja dalam gerakan-gerakan dan ideologi seperti ini melalui rangkaian sosial atau kegiatan tertentu.

Namun kebanyakan mahasiswa masih terarah kepada aktiviti akademik dan sosial yang lebih berfokus pada pembangunan diri serta sahsiah.

Walaubagaimanapun mungkin terdapat sebilangan kecil mahasiswa yang mungkin terbabit, sama ada secara tidak sedar.

Terbabitnya segelintir kecil mahasiswa dalam gerakan seperti ini lebih kepada faktor individu yang terdedah kepada pengaruh ideologi atau tekanan luar.

GPMS sering memainkan peranan agar generasi muda tidak tergelincir dari arus pendidikan, bagaimana dengan unsur doktrin seperti ini?

Gabungan Pelajar Melayu Semenanjung (GPMS) sentiasa sering memainkan peranan utama dalam memastikan generasi muda kekal fokus pada pendidikan namun cabaran dari unsur doktrin sesat memerlukan pendekatan yang lebih khusus.

GPMS sentiasa menjalankan program-program jati diri melalui pendidikan, ceramah, atau seminar di sekolah dan universiti. Ini membantu memantapkan kefahaman agama dan jati diri dalam kalangan generasi muda.

Apakah nasihat GPMS kepada mahasiswa dan golongan muda yang berdepan kemungkinan terpengaruh dengan doktrin palsu?

GPMS mengharapkan agar mahasiswa dan golongan muda yang kemungkinan terpengaruh dengan doktrin ini agar terus berpegang teguh pada ajaran agama yang sebenar dengan memastikan setiap rujukan agama yang diambil adalah daripada sumber yang sahih dan diiktiraf.

Sentiasa rujuk kepada pakar atau institusi agama yang berautoriti untuk mendapatkan maklumat yang betul.

Mahasiswa jangan mudah terpengaruh dengan ajaran atau ideologi yang tidak jelas sumbernya, terutamanya yang tersebar di media sosial.

Berhati-hati sebelum mempercayai atau menyebarkan maklumat yang tidak sahih.

Mahasiswa perlu sentiasa memiliki pemikiran yang kritis dan bertanya soalan apabila berhadapan dengan ajaran atau ideologi yang kelihatan meragukan.

© New Straits Times Press (M) Bhd

Scroll to Top