SENIMAN rayu bantuan kerajaan jejak Nadia Kesuma

SENIMAN rayu bantuan kerajaan jejak Nadia Kesuma

am@hmetro.com.my

Kuala Lumpur: Persatuan Seniman Malaysia (SENIMAN) memohon bantuan Kementerian Luar Negeri bagi mengesan pelakon, Nadia Kesuma yang dilaporkan hilang di Lapangan Terbang Antarabangsa Raja Abdul Aziz, Jeddah, sejak pagi semalam.

Setiausaha Agung SENIMAN, Hafiz Nafiah berkata, dia memaklumkan perkara itu secara peribadi kepada Menteri Luar Negeri, Datuk Seri Mohamad Hasan di Pusat Dagangan Dunia (WTC) hari ini bagi mendapatkan bantuan lanjut pihak konsulat.

Kejadian yang berlaku kira-kira jam 6.20 pagi waktu tempatan itu disedari selepas Nadia gagal menaiki penerbangan transit menuju ke London yang dijadualkan pada jam 8.30 pagi, selepas dua jam mendarat di Jeddah.

Hafiz menjelaskan, Nadia dilaporkan gagal dikesan selepas pergi ke tandas di lapangan terbang berkenaan dan tidak memunculkan diri meskipun namanya dipanggil berkali-kali menerusi pembesar suara di lapangan terbang terbabit.

“Walau bagaimanapun, beg tangan (hand carry) miliknya ditemui di lapangan terbang itu, manakala beg kargo miliknya pula sudah selamat sampai di London,” katanya.

Susulan kehilangan itu, Seniman difahamkan pihak keluarga dan Konsulat Malaysia di Jeddah sudah membuat laporan polis bagi membolehkan pihak berkuasa Arab Saudi menjalankan siasatan termasuk meneliti rakaman kamera litar tertutup (CCTV) di lapangan terbang.

Dalam pada itu, SENIMAN turut menjelaskan spekulasi mengenai kiriman pesanan WhatsApp terakhir Nadia kepada suaminya yang menyebut ‘I met stranger’.

“Ayat itu sebenarnya merujuk kepada jemaah dalam kumpulan perjalanannya yang baru dikenali, bukannya bermaksud dia berjumpa dengan individu asing atau mencurigakan,” katanya.

Seniman menggesa orang ramai agar berhenti mengeluarkan sebarang kenyataan mengelirukan bagi menjaga sensitiviti keluarga yang kini berada dalam keadaan bimbang.

“Kami percaya pihak berkuasa Arab Saudi akan bekerjasama rapat dengan Konsulat Malaysia untuk menjejaki keberadaan Nadia. SENIMAN akan memaklumkan perkembangan dari semasa ke semasa dan mendoakan agar dia sentiasa dalam lindungan Allah SWT,” katanya.

Terdahulu, berita kehilangan Nadia itu dikongsikan oleh rakan baiknya yang juga Presiden Gagasan Transformasi Anak Seni (GTAS) iaitu pelakon Anne Abdullah semalam.

Sementara itu, pihak agensi pelancongan dalam kenyataan yang dikeluarkan menceritakan keadaan yang berlaku dan usaha mengesan mangsa masih dijalankan dengan bantuan syarikat dan agensi berkaitan.

© New Straits Times Press (M) Bhd

Scroll to Top