SENIMAN sedia jadi orang tengah

SENIMAN sedia jadi orang tengah

Kuala Lumpur : Presiden Persatuan Seniman Malaysia (SENIMAN), Zed Zaidi, menggesa semua pihak menghentikan sebarang bentuk perbalahan sesama artis bagi mengelakkan isu berlarutan sehingga mengheret individu lain yang tidak berkaitan.

Pada masa sama, SENIMAN menyatakan kesediaan untuk menjadi orang tengah dalam usaha menyelesaikan konflik membabitkan pelakon Puteri Balqis, Mia Sara dan Janna Nick.

Zed berkata, perbalahan dalam kalangan rakan seindustri seharusnya ditangani secara diplomasi dan tertutup kerana ia membabitkan hal peribadi, bukannya dipertontonkan secara terbuka di media sosial.

Menurutnya, tindakan saling menuding jari dan berbalah secara terbuka bukan sahaja mengeruhkan keadaan, malah boleh mencalar imej industri hiburan tanah air.

“Mereka sepatutnya sedar artis sentiasa menjadi perhatian masyarakat. Setiap tutur kata perlu dijaga kerana ia memberi impak kepada persepsi umum, sama ada baik atau sebaliknya.

“Apatah lagi apabila bergaduh sesama sendiri. SENIMAN bersedia menjadi orang tengah untuk membantu menyelesaikan masalah ini supaya perkara yang boleh dibincangkan di luar media sosial tidak terus merebak dan mencetuskan spekulasi lain.

“Saya tidak mahu perkara ini memburukkan lagi keadaan dalam industri,” katanya.

Zed berkata, perbalahan dalam kalangan artis bukan perkara baharu, khususnya membabitkan artis muda dan baharu, malah SENIMAN sebelum ini pernah berjaya mendamaikan beberapa konflik termasuk isu antara pelakon Neelofa dan Anzalna Nasir.

Menurutnya, kebanyakan konflik berlaku akibat kejutan budaya serta kelemahan dalam kemahiran komunikasi, terutama penggunaan media sosial yang kini semakin terbuka dan pantas.

Sehubungan itu, Zed menyarankan artis muda agar mengambil inisiatif mendalami ilmu komunikasi dan perhubungan awam, sambil menegaskan SENIMAN sentiasa terbuka menganjurkan bengkel berkaitan.

“Kami sentiasa aktif menganjurkan bengkel, khususnya berkaitan komunikasi, supaya artis lebih bijak mengendalikan isu sesama penggiat seni,” katanya.

Mengulas tindakan sesetengah pihak yang mengungkit kisah silam serta menyebarkan video lama atau aib peribadi, Zed menyifatkan perbuatan itu sebagai tidak wajar dan perlu dihentikan segera.

Tegasnya, setiap individu tidak terlepas daripada melakukan kesilapan, namun apabila seseorang memilih untuk berubah ke arah kebaikan, kisah lama tidak seharusnya dijadikan senjata untuk menyerang peribadi mereka.

Zed turut melahirkan kebimbangan budaya membuka aib dan perbalahan terbuka ini akan menjadi contoh buruk kepada generasi artis baharu pada masa hadapan.

“Sepatutnya kita menutup aib, bukan mengaibkan orang lain di media sosial.

“Tambahan pula dengan kewujudan teknologi kecerdasan buatan (AI). Dengan AI, imej seseorang boleh dimanipulasi menjadi pelbagai bentuk.

“Kami menerima banyak aduan daripada artis mengenai perkembangan teknologi ini yang masih belum mempunyai kawalan jelas. Apabila berlaku perbalahan, akan muncul pelbagai perkara yang mungkin benar atau tidak benar.

“AI boleh mencetuskan fitnah. Jadi elakkan perbalahan ini daripada berpanjangan supaya tidak timbul perkara-perkara yang lebih pelik dan memudaratkan,” katanya.

© New Straits Times Press (M) Bhd

Scroll to Top