Vancouver: Penjaga gol Switzerland, Gregor Kobel menyifatkan kejayaan pasukannya menewaskan Colombia menerusi penentuan penalti 4-3 sebagai pencapaian yang ‘luar biasa’ selepas mereka mara ke suku akhir Piala Dunia buat kali pertama dalam tempoh 72 tahun.
Kobel menjadi wira Switzerland apabila menyelamatkan sepakan penalti Cucho Hernandez dalam aksi penentuan di Vancouver, sekali gus membantu pasukannya menamatkan tiga kempen berturut-turut yang berakhir di pusingan 16 terbaik.
Penjaga gol Borussia Dortmund itu yang membuat penampilan sulung di Piala Dunia berkata, kejayaan Switzerland menempatkan diri dalam kelompok lapan pasukan terbaik dunia adalah sesuatu yang sukar digambarkan.
“Saya rasa tidak boleh dipandang ringan betapa besarnya pencapaian ini buat kami, buat pasukan ini dan buat Switzerland.
“Untuk sebuah negara kecil berada dalam kelompok lapan pasukan terbaik dunia dalam sukan terbesar di planet ini adalah sesuatu yang luar biasa.
“Saya sangat gembira untuk setiap pemain, penyokong dan semua yang dapat merasai detik seperti ini,” katanya.
Kobel berkata, aksi menyelamatkan penalti Hernandez adalah detik penting yang mencetuskan keyakinan Switzerland untuk muncul pemenang.
“Saya sangat fokus ketika itu. Saya tidak terlalu memikirkan emosi tetapi menyelamatkan penalti itu adalah detik yang sangat besar.
“Melihat rakan sepasukan saling memberi sokongan dan berjuang bersama menunjukkan sesuatu yang istimewa. Perasaan itu sukar diperoleh di tempat lain,” katanya.
Dalam penentuan penalti itu, Switzerland mendapat kelebihan awal selepas Davinson Sanchez gagal menyempurnakan sepakan apabila bola terkena palang namun Manuel Akanji kemudian gagal untuk Switzerland apabila sepakannya tersasar.
Bagaimanapun, Kobel memastikan peluang pasukannya kekal sebelum Ruben Vargas menyempurnakan penalti kemenangan untuk membawa Switzerland ke suku akhir.
Akanji mengakui sepakan penalti yang gagal dilakukannya adalah satu kesilapan besar dan mungkin tidak akan mengambil tanggungjawab itu lagi selepas ini.
“Ia adalah sesuatu yang teruk. Selepas ini saya serahkan kepada pemain lain. Sesiapa yang mahu mengambilnya, silakan,” kata pertahanan Inter Milan itu.
Switzerland kini berdepan cabaran lebih besar apabila bertemu juara bertahan, Argentina, di Kansas City, pagi Ahad ini.
Akanji sedar tugas mereka bukan mudah apabila perlu menentang pasukan yang diketuai Lionel Messi.
“Mereka adalah juara dunia terakhir yang mengangkat trofi. Kami akan menentang juara bertahan.
“Saya rasa suku akhir tidak boleh mendapat lawan lebih besar daripada ini. Cabaran akan semakin sukar setiap pusingan tetapi saya percaya kami bersedia,” katanya.
© New Straits Times Press (M) Bhd




