MADRID: Sepanyol akan membenarkan pengembara yang divaksin memasuki negara itu bermula 7 Jun depan bagi menghidupkan semula sektor pelancongan yang terjejas teruk angkara penularan pandemik COVID-19, kata Perdana Menteri, Pedro Sanchez.
“Bermula 7 Jun, semua orang yang divaksin dan keluarga mereka akan dialu-alukan ke negara ini, Sepanyol, tidak kira dari negara mana sekalipun,” kata Sachez di festival pelancongan antarabangsa di sini.
Sanchez turut mengumumkan bahawa pengembara dari Britain akan dibenarkan untuk berkunjung ke Sepanyol untuk bercuti bermula minggu depan.
“Bermula Isnin depan, 24 Mei, Sepanyol, gembira menerima pelancong Britain sekali lagi ke negara kami,” kata beliau.
Mengulas lanjut, Sanchez berkata, mereka akan dibenarkan masuk ‘tanpa sekatan’ tetapi beliau tidak menjelas dengan terperinci sama ada perlu untuk mengemukakan keputusan ujian negatif COVID-19.
Britain sudah lama menjadi penyumbang pelancong terbesar bagi Sepanyol dan sehingga sekarang, pengembara dari negara itu dibenarkan untuk memasuki Sepanyol untuk lawatan penting.
Untuk sementara waktu, Britain menguatkuasakan sekatan terhadap pengembara dari Sepanyol yang perlu menjalani proses kuarantin setibanya di negara itu termasuk melampirkan sama keputusan ujian negatif COVID-19.
Sepanyol adalah destinasi pelancongan kedua paling popular selepas Perancis, dengan mencatatkan pengunjung asing seramai 83.5 juta orang pada 2019.
Pada tahun lalu, jumlah pelancong ke Sepanyol merudum sehingga 77 peratus berbanding tahun sebelumnya, berkurangan bawah 19 juta pelancong ekoran sekatan bagi membendung penularan COVID-19.
Negara itu menjangkakan akan menerima pelancong seramai 45 juta orang pada tahun ini, iaitu lebih separuh angka pada 2019 sebelum COVID-19 membadai dunia, kata menteri pelancongan pada bulan ini.
Sanchez berkata demikian ketika berucap di Festival Pelancongan Antarbangsa FITUR yang dihadiri kira-kira 50,000 sepanjang minggu ini.
Ia adalah acara pertama seumpamanya sejak pandemik COVID-19 meletus.
Pameran pelancongan itu diadakan ketika Eropah dan banyak negara lain mengenakan perintah berkurung ekoran penularan COVID-19 dan di tengah-tengah masyarakat seluruh dunia tidak sabar untuk keluar mengembara lagi.
Pelancongan antara sektor yang paling terjejas akibat COVID-19.
Menurut Organisasi Pelancongan Dunia Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (UNWTO), ketibaan pelancong merosot 74 peratus pada tahun lalu berbanding 2019. – AFP
© New Straits Times Press (M) Bhd



