Sepanyol tersingkir dari Piala United

Sepanyol tersingkir dari Piala United

Perth: Sepanyol terpaksa akur apabila tersingkir daripada meneruskan cabaran di Piala United di Perth, Australia selepas tewas 1-2 kepada Greece dalam aksi peringkat kumpulan, semalam.

Jessica Bouzas Maneiro mengalahkan Maria Sakkari dari Greece 6-2, 6-1 untuk memberi Sepanyol kelebihan 1-0, tetapi Stefanos Tsitsipas menyamakan kedudukan selepas menang 6-4, 4-6, 6-3 ke atas Pablo Carreno Busta dalam perlawanan Kumpulan C.

Kedudukan 1-1 itu membawa kepada perlawanan beregu campuran mempertemukan pilihan ke-14 Sepanyol dan pilihan ketiga Greece yang menjadi perlawanan penentu.

Maria yang bergandingan bersama Tsitsipas akhirnya menoktahkan kemenangan buat Greece selepas menewaskan Sergio Martos Gornes dan Yvonne Cavalle Reimers 4-6, 6-3, 10- 6.

Sepanyol sebelum itu turut tewas kepada Kazakhstan pada hari pertama kejohanan, yang membabitkan 18 pasukan dibahagikan kepada enam kumpulan dengan tiga negara setiap kumpulan.

Bintang Sepanyol, Carlos Alcaraz, tidak bermain di kejohanan itu kerana sedang membuat persiapan untuk Terbuka Australia yang bermula pada 12 Januari.

Dalam aksi pembukaan Kumpulan F di Sydney, Argentina yang diletakkan di tempat ke-17 mengejutkan Australia, yang berada di ranking ke-12, dengan kemenangan 2-1.

Alex de Minaur memberi Australia permulaan yang baik dengan kemenangan 6-1, 6-4 ke atas Tomas Martin Etcheverry, tetapi Nadia Podoroska dari Argentina mengalahkan Olivia Gadecki 6-2, 6-4.

Etcheverry dan Maria Lourdes Carle menang 6-2, 6-4 ke atas Matthew Ebden dan Ellen Perez untuk memastikan kemenangan berpihak Argentina 2-1 dalam perlawanan kumpulan.

Walaupun Australia tewas, De Minaur gembira dengan prestasi awal musimnya.

“Saya sudah melakukan beberapa kerja hebat dalam pramusim.

“Saya berasa selesa dengan cara saya bermain sebelum kejohanan, jadi saya hanya memberitahu diri saya untuk mempercayai kemampuan saya dan bermain tenis yang saya inginkan,” katanya.

© New Straits Times Press (M) Bhd

Scroll to Top