Serangan di Kabul: Warga Britain turut maut

Share on facebook
Share on twitter
Share on email
Share on whatsapp

LONDON: Dua warga Britain dikenal pasti sebagai antara 85 orang disahkan terbunuh setakat ini dalam serangan bom nekad di luar lapangan terbang di Kabul, kelmarin, kata Setiausaha Luar, Dominic Raab.

Selain itu, beliau berkata, anak kepada seorang lagi warga Britain turut terkorban dalam insiden berkenaan.

“Saya amat dukacita atas kematian dua warga Britain dan seorang anak kepada warga Britain yang lain, manakala dua lagi mengalami kecederaan dalam serangan itu.

“Mereka tidak berdosa dan insiden itu adalah satu tragedi. Mereka dibunuh oleh penyerang yang pengecut,” katanya dalam satu kenyataan.

Kumpulan Daesh dilaporkan mengaku bertanggungjawab dalam serangan itu yang mengorbankan orang awam dan 13 tentera Amerika Syarikat (AS).

Mengulas lanjut, Raab berkata, serangan itu menunjukkan ancaman keselamatan yang semakin membimbangkan di Afghanistan.

“Ia menguatkan lagi sebab untuk kita berusaha sedaya upaya membawa orang keluar dari Afghanistan.

“Kami sedang menawarkan sokongan konsular kepada keluarga mereka,” katanya. – AFP

© New Straits Times Press (M) Bhd