Serangan Iran paksa operasi tapak Al Taweelah milik Emirates Global ditutup

Serangan Iran paksa operasi tapak Al Taweelah milik Emirates Global ditutup
Serangan Iran paksa operasi tapak Al Taweelah milik Emirates Global ditutup

Serangan peluru berpandu dan dron Iran baru-baru ini menyebabkan kerosakan ketara ke atas kompleks Al Taweelah milik EGA di Abu Dhabi.

ISTANBUL – Emirates Global Aluminium (EGA) pada Jumaat memaklumkan serangan peluru berpandu dan dron Iran baru-baru ini menyebabkan kerosakan ketara ke atas kompleks Al Taweelah miliknya di Abu Dhabi, sekali gus memerlukan pemindahan penuh serta penutupan kecemasan, lapor Anadolu Ajansi (AA).

Dalam satu kenyataan, syarikat itu berkata, serangan berkenaan mengenai kemudahan di Zon Ekonomi Khalifa di Abu Dhabi, sekali gus menjejaskan loji peleburan, loji janakuasa, kilang penapisan alumina dan loji kitar semula.

Tapak berkenaan merupakan antara kompleks pengeluaran aluminium terbesar di dunia, menurut syarikat itu.

EGA berkata, proses memulihkan pengeluaran aluminium primer dijangka mengambil masa sehingga 12 bulan berikutan keperluan membaiki infrastruktur serta memulakan semula operasi sel pengurangan secara berperingkat.

Kilang penapisan alumina dan loji kitar semula mungkin dapat menyambung semula operasi lebih awal, bergantung pada penilaian kerosakan.

Ketua Pegawai Eksekutif, Abdulnasser Bin Kalban berkata, syarikat amat terganggu dengan serangan terhadap pekerja, sambil menyatakan pekerja dari lebih 40 negara berada di tapak berkenaan.

“Kami bersyukur tiada seorang pun mengalami kecederaan yang mengancam nyawa dan mereka yang cedera sedang pulih dengan baik,” katanya.

Kalban menyifatkan kemudahan Al Taweelah sebagai “asas kepada ekonomi global” dan penyumbang utama kepada bekalan aluminium dunia dan memberi amaran bahawa insiden itu boleh menjejaskan industri di seluruh dunia.

Loji peleburan Al Taweelah menghasilkan 1.6 juta tan logam tuangan pada 2025, manakala kilang penapisan alumina menghasilkan 2.4 juta tan, memenuhi 46 peratus keperluan syarikat itu, menurut syarikat berkenaan.

Loji kitar semula itu mempunyai kapasiti tahunan sebanyak 185,000 tan, katanya. – Bernama

Scroll to Top