Serangan Israel bunuh tiga individu di Gaza- Petugas perubatan

Serangan Israel bunuh tiga individu di Gaza- Petugas perubatan
Serangan Israel bunuh tiga individu di Gaza- Petugas perubatan

Keadaan kawasan di Gaza. Foto Abdel Kareem Hana/AP

GAZA- Tiga rakyat Palestin terbunuh dalam satu serangan Israel di Gaza pada Jumaat, lapor Reuters.

Menurut pegawai kesihatan Palestin, serangan itu dilaporkan mengenai kawasan sesak di Bandar Gaza berhampiran lokasi anggota polis tempatan ditugaskan mengawal sebuah bank.

Kementerian Dalam Negeri Gaza dalam satu kenyataan pada Jumaat memaklumkan bahawa serangan tersebut menyasarkan polis rondaan.

Reuters sebelum ini melaporkan bahawa Israel telah meningkatkan serangan terhadap pasukan polis Gaza yang dikendalikan oleh Hamas, yang digunakan kumpulan itu untuk memulihkan pentadbiran di kawasan di bawah kawalannya di wilayah berkenaan.

Bagaimanapun, masih belum dapat dipastikan sama ada terdapat anggota polis Gaza yang terkorban dalam serangan itu.

Tentera Israel tidak memberikan maklum balas segera terhadap permintaan komen berhubung insiden tersebut.

Keganasan di Gaza berterusan walaupun gencatan senjata pada Oktober 2025, dengan Israel dilaporkan melancarkan serangan hampir setiap hari ke atas rakyat Palestin.

Menurut petugas perubatan tempatan, sekurang-kurangnya 790 rakyat Palestin terbunuh sejak perjanjian gencatan senjata berkuat kuasa, manakala Israel mendakwa empat anggota tenteranya terbunuh akibat serangan militan.

Israel dan Hamas saling menuding jari berhubung pelanggaran gencatan senjata.

Pihak berkuasa kesihatan Gaza memaklumkan lebih 72,000 penduduk Gaza dilaporkan terbunuh sejak perang bermula pada Oktober 2023 dengan majoritinya orang awam.

Serangan Hamas ke atas Israel pada 7 Oktober 2023 pula mengorbankan kira-kira 1,200 orang, menurut angka Israel.

Scroll to Top