Setia kepada perjuangan parti bukan ketika berkedudukan

Setia kepada perjuangan parti bukan ketika berkedudukan

mohd_iskandar@bh.com.my

KUALA LUMPUR: Pemuda UMNO memberi peringatan kepada segelintir pemimpin parti itu supaya tidak berselindung di sebalik slogan ‘No Anwar, No DAP’ bagi menyembunyikan agenda peribadi demi mempertahankan kedudukan.

Ketuanya, Datuk Dr Asyraf Wajdi Dusuki, berkata individu terbabit

tidak wajar diberi tempat dalam barisan hadapan dan perlu ditolak pada pemilihan parti akan datang.

“Segala ujian yang kita lalui bersama cukup untuk menguji tahap kesetiaan kita kepada idealisme dan prinsip perjuangan. Setia kepada perjuangan bukan hanya di saat kesenangan. Setia kepada perjuangan bukan hanya ketika berkedudukan.

“Sebaliknya, setia yang sejati adalah di saat kita harus membuat perhitungan besar antara mempertahankan parti biarpun menjadi lilin membakar diri atau merelakan diri diperlakukan semahunya bak lembu dicucuk hidung oleh tuan yang mendedaknya,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika menyampaikan ucapan dasar Ketua Pemuda pada Perhimpunan Agung UMNO 2020 (PAU 2020) di Pusat Dagangan Dunia Kuala Lumpur (WTC KL) di sini, hari ini.

Mengenai Muafakat Nasional (MN), Asyraf Wajdi menegaskan, pergerakan itu ikhlas serta menyifatkan penyatuan UMNO-PAS sebagai mimpi paling indah yang didambakan sejak dahulu lagi.

Justeru, beliau berharap, ikatan persahabatan menerusi MN dapat dipegang erat dan tidak terlerai oleh pihak ketiga.

“Seruan Pemuda buat kepemimpinan, berpakatlah dengan hikmah, berundinglah tanpa helah bak ‘kundur tidak melata pergi, labu tidak melata mari’.

“Tidak ada kusut yang tidak boleh selesai…yang penting mesti ada keikhlasan dan jujur dalam persahabatan mahupun persepakatan,” katanya.

Sementara itu, beliau turut mengingatkan semua ahli UMNO supaya tidak hanyut dalam merebut kedudukan pada pemilihan parti akan datang.

“Ingatlah, semuanya ini tidak punya makna apa-apa, jika bahtera karam dalam medan sebenar peperangan,” katanya.

© New Straits Times Press (M) Bhd