Semangat Perhimpunan Agung UMNO tetap dirasai ahli UMNO Pulau Pinang – Utusan Digital

source_img
Share on facebook
Share on twitter
Share on email
Share on whatsapp

GEORGETOWN: Lebih 100 ahli sayap Pergerakan Wanita, Pergerakan Pemuda dan Pergerakan Puteri UMNO negeri ini tetap bersemangat mengikuti Perhimpunan Agung UMNO walaupun tidak berada di Pusat Dagangan Dunia Putra (PWTC) yang menjadi lokasi utama perhimpunan berkenaan.

Tiga bilik persidangan di Hotel Citittel di sini yang menjadi lokasi persidangan tersebut secara maya hari ini tetap meriah dengan ahli-ahli memakai pakaian rasmi parti.

Setiausaha Kerja UMNO Pulau Pinang, Hamzah Mohd. Ismail berkata, kesemua mereka masing-masing 52 orang dari ketiga-tiga sayap mewakili 13 bahagian UMNO di negeri ini menunjukkan semangat perjuangan yang tinggi walaupun dalam situasi norma baharu.

“Sejak semalam, ada ahli-ahli yang telah bersiap sedia di sini dan mereka semua mematuhi arahan menjaga SOP sepanjang persidangan berlangsung.

“Aura persidangan di PWTC tetap sampai ke Pulau Pinang walaupun ahli-ahli kita hanya berinteraksi secara maya ketika perhimpunan ini berlangsung,” katanya di sini hari ini.

Menurutnya, beliau berharap setiap ahli UMNO dapat menghayati setiap pesanan pucuk pimpinan parti itu walaupun mereka berada jauh daripada PWTC.

Dalam pada itu, Naib Ketua Wanita UMNO Bahagian Jelutong, Rahimah Ramli, 45, berkata, ini merupakan kali pertama dia tidak dapat mengikuti perhimpunan di PWTC selepas 10 tahun bergiat aktif sebagai ahli parti.

“Rasa sedih pada mulanya, tetapi bila saya lihat rakan-rakan lain di sini tetap bersemangat ikuti persidangan, saya turut bersemangat.

“Kami berasa seperti berada di PWTC ketika mendengar amanat Timbalan Presiden, Datuk Seri Mohamad Hassan pagi tadi,” katanya.

Naib Ketua Pemuda UMNO Bahagian Bukit Gelugor, Mohd. Huzaidi Mohd Hussin, 42, pula berkata, ahli-ahli yang dijemput menghadiri perhimpunan itu hari ini amat bersemangat walaupun tidak dapat bersama-sama dengan pemimpin di PWTC.

“Amanat yang disampaikan kami dengar dengan teliti dan jadikan panduan untuk terus menggerakkan parti.

“Suasananya sedikit berbeza kerana kami tidak dapat berada di PWTC, namun semangatnya tetap sama di sini dan kami bersedia untuk membawa parti agar lebih bersedia di masa depan,” katanya. -UTUSAN ONLINE