Ucapan bapa kepada Bella Astillah iaitu Awang Astillah Abdullah ketika majlis pernikahan semalam penuh sebak meluahkan harapan agar Syed Saddiq dapat menjaga Bella dengan baik.
Bapa Bella berkata perjalanan dilalui anaknya itu tidak mudah namun bangga Bella terus kuat untuk meneruskan kehidupan.
BACA: “Nasib Baik Tak Terbaca Doa Makan” – Bella Astillah Gementar Nampak Bakal Ibu Mentua
“Ayah cuma mahu kamu bahagia. Ayah tahu perjalanan hidupmu tidak mudah, tetapi ayah bangga sebab kamu tetap kuat, tetap tersenyum dan tetap memilih untuk meneruskan hidup dengan hati yang baik.
“Kepada Saddiq, ayah dan mama sudah menjaga Bella selama 32 tahun dan hari ini ayah serahkan amanah dan tanggungjawab itu kepada Saddiq. Jagalah dia sebaik-baiknya.
“Setialah dengan seorang, jatuh cintalah dengan orang yang sama setiap hari. Fokuslah kepada dia, jagalah hati dan sama-samalah memperjuangkan rumah tangga ini,” katanya.
Sementara itu, Awang berkata dalam rumah tangga pasti akan berdepan ujian namun setiap pasangan perlu sentiasa pertahankan rumah tangga.
“Akan ada banyak godaan dalam hidup, tetapi ketika itu ingatlah bahawa di rumah ada seseorang yang sedang menjaga hati untuk kamu, mempercayai kamu, memilih kamu setiap hari. Jangan sia-siakan hati yang memilih untuk mempercayai kita,” katanya.
Dalam pada itu, Awang turut menitipkan pesanan kepada Bella untuk menghormati suami serta menjalankan tanggungjawab sebagai isteri dengan baik.
“Jadilah seorang isteri yang baik dan hormat kepada suami. Kalau suatu hari kamu hampir jatuh, semoga dialah yang paling dahulu menyambut kamu.
“Walau apa pun yang berlaku, ingatlah kamu tetap anak ayah dan mama. Ayah dan mama sentiasa ada menyayangi Kakak selagi kami ada di dunia ini,” katanya.




