DHAKA – Bangladesh memutuskan untuk membina dua kem tentera di kawasan berbukit berhampiran penempatan pelarian Rohingya di Ukhiya, Cox’s Bazar bagi membanteras kejadian penculikan untuk mendapatkan wang tebusan dan pelbagai kegiatan jenayah lain yang kerap berlaku di kawasan berkenaan.
Menteri Dalam Negeri, Salahuddin Ahmed berkata, kedua-dua kem itu akan dibina di Noakhalipara dan Rangikhali di bawah kendalian Divisyen Tentera Darat Ke-10 bagi memperkukuh kawalan keselamatan di sekitar penempatan pelarian.
“Kejadian penculikan untuk mendapatkan wang tebusan kerap berlaku di kawasan berbukit Ukhiya dan Noakhalipara.
“Dua kem tentera akan dibina di Noakhalipara dan Rangikhali bagi mencegah jenayah berkenaan,” katanya selepas menghadiri mesyuarat Jawatankuasa Penyelarasan Kebangsaan mengenai Kem Rohingya di Sekretariat Kerajaan pada Khamis lalu.
Menurut laporan Daily Sun, kerajaan turut memutuskan untuk membaiki infrastruktur keselamatan di sekitar penempatan berkenaan susulan kerosakan pada pagar kawat berduri dan tembok sempadan, selain kamera litar tertutup (CCTV) yang sering tidak berfungsi.
Langkah itu termasuk membaiki pagar yang rosak, memasang lampu berkuasa solar serta menambah kamera CCTV pada jarak tertentu, selain membina menara kawalan dan menara pengawasan.
Salahuddin yang juga Pengerusi Jawatankuasa Kebangsaan bagi Warga Myanmar yang Dipindahkan Secara Paksa (FDMN) berkata, kegiatan penyeludupan dadah, perjudian dalam talian, pemerdagangan manusia dan pergerakan kumpulan bersenjata merupakan antara ancaman jenayah utama di kem pelarian terbabit.
Menurutnya, operasi bersepadu membanteras kegiatan berkaitan dadah, senjata dan pemerdagangan manusia sedang dijalankan di dalam serta di luar kawasan kem di bawah pimpinan seorang pegawai berpangkat Timbalan Inspektor Jeneral daripada Batalion Polis Bersenjata (APBn).
Beliau berkata, Akta Batalion Polis Bersenjata juga baru-baru ini dipinda bagi memperluas kuasa siasatan pasukan itu, memandangkan kira-kira 400 pegawai berpangkat subinspektor sebelum ini tidak diberi kuasa menjalankan siasatan jenayah.
Sementara itu, kerajaan Bangladesh turut merancang membina sebuah akademi polis baharu di Jungle Salimpur, Chattogram, berasaskan model Akademi Polis Sarda.
Mengulas mengenai usaha penghantaran pulang pelarian Rohingya ke Myanmar, Salahuddin berkata, perkara itu sedang ditangani sebuah jawatankuasa peringkat tertinggi yang dipimpin Perdana Menteri dengan penglibatan wakil Kementerian Luar dan Kementerian Dalam Negeri. – Agensi



