am@hmetro.com.my
Baca juga: “Abang Minta Maaf Atas Segala Kesilapan, Selamat Hari Lahir Mama”
Kota Bharu: Tunang petarung Muay Thai negara, Ahmad Nor Iman Aliff Rakib, 22, atau lebih dikenali sebagai Aliff Rakib dilaporkan sudah memeluk Islam.
Wanita berkenaan, Kunrisa Jo berkongsi berita mengenai penghijrahannya di media sosial Jumaat lalu, berserta beberapa keping gambar yang merakamkan detik bermakna berkenaan.
Turut dimuat naik tangkap layar perbualan Kunrisa bersama ibunya menerusi aplikasi LINE.
Dalam perbualan itu, Kunrisa bertanya kepada ibunya sama ada wanita berkenaan masih menyayanginya dan ibunya menjawab: “Sudah tentu, sayang!
Perbualan menyentuh hati itu menggambarkan kasih sayang dan sokongan tanpa berbelah bahagi ibunya terhadap Kunrisa, meskipun anaknya itu melalui perubahan besar dalam kehidupan.
Aliff Rakib turut meninggalkan komen pada hantaran bakal isterinya dengan ucapan, “Alhamdulillah, I love you. May Allah bless you and guide you on this beautiful journey” (Alhamdulillah, saya sayangkan awak. Semoga Allah memberkati dan membimbing awak dalam perjalanan indah ini).
Sebelum ini, Aliff pernah menyatakan hasrat untuk mendirikan rumah tangga tahun ini.
Beliau turut mendedahkan sudah membeli sebuah rumah di Bangkok, Thailand, sebagai persiapan untuk kehidupan mereka bersama.
Dalam kesibukan membuat persiapan perkahwinan, Aliff juga sedang memberi tumpuan kepada pertarungan akan datang menentang Prajanchai PK Saenchai pada 18 Disember ini, dalam usaha meneruskan misi kejuaraannya.
Aliff mencipta sejarah pada 24 Julai lalu apabila menewaskan legenda Muay Thai Thailand, Sam-A Gaiyanghadao menerusi kemenangan kalah mati pada pusingan kelima di Stadium Lumpinee, Bangkok, sekali gus merangkul gelaran Juara Dunia Muay Thai Interim Strawweight ONE Championship.
Pemuda kelahiran Kelantan berusia 22 tahun itu menjadi rakyat Malaysia pertama memenangi gelaran dunia ONE Championship selepas menumbangkan Sam-A pada minit pertama 9 saat pusingan terakhir.
© New Straits Times Press (M) Bhd