LATEST
National

GPS gerak 29 calon sudah menang bantu kempen di kerusi lain – Abdul Karim

GPS gerak 29 calon sudah menang bantu kempen di kerusi lain – Abdul Karim

SIBU: Kemenangan tanpa bertanding 29 calon Gabungan Parti Sarawak (GPS) pada Pilihan Raya Negeri (PRN) Sarawak ke-13 bukanlah noktah kepada gerak kerja kempen mereka, sebaliknya tenaga mereka akan digembleng bagi membantu calon gabungan berkenaan di kerusi yang memerlukan sokongan tambahan.

Baca juga: Newcastle sekat rekod tanpa kalah Brighton

Ketua Penerangan GPS, Datuk Seri Abdul Karim Rahman Hamzah, yang turut menang tanpa bertanding di kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Asajaya, berkata langkah itu sebahagian daripada strategi gabungan berkenaan untuk memperkukuh jentera kempen bagi menghadapi persaingan di kerusi yang dipertandingkan.

“Kita mempunyai tempoh dua minggu untuk mengenal pasti kawasan yang benar-benar memerlukan bantuan. Bukan saya seorang, malah calon lain yang menang tanpa bertanding juga akan turun padang untuk membantu,” katanya kepada pemberita selepas merasmikan penutupan Kejohanan Olahraga Terbuka Sibu 2026 di sini hari ini.

Abdul Karim berkata meskipun GPS berpotensi menyapu bersih semua kerusi pada PRN kali ini, isu dalaman yang tidak ditangani dengan baik boleh menjejaskan peluang kemenangan gabungan itu di beberapa kawasan.

Beliau turut menyifatkan kemenangan tanpa bertanding di 29 kerusi sebagai pencapaian luar biasa dalam sejarah pilihan raya negara, sekali gus mencerminkan penerimaan kukuh rakyat terhadap GPS dan kepimpinan pengerusinya, Tan Sri Abang Johari Tun Openg.

“Kalau tidak silap saya, rekod tertinggi sebelum ini ialah 19 kerusi di Sarawak pada 1996. Kali ini kita menang 29 kerusi tanpa bertanding, satu pencapaian yang amat membanggakan,” katanya.

Mengulas keputusan beberapa parti politik dari Semenanjung Malaysia untuk tidak bertanding pada PRN kali ini, Abdul Karim berkata parti berkenaan dipercayai telah mengambil kira prospek kemenangan masing-masing sebelum memuktamadkan keputusan itu.

“Mereka tentunya telah menjalankan kaji selidik sendiri dan menyedari peluang untuk menang tidak memihak kepada mereka. Sebab itulah banyak daripada mereka menarik diri,” katanya.

Abdul Karim berkata ketiadaan persaingan di banyak kerusi turut mencerminkan sikap saling menghormati dan persefahaman politik antara GPS dengan parti-parti dari Semenanjung Malaysia, terutama menjelang Pilihan Raya Umum (PRU) akan datang, apabila kerjasama politik berpotensi memainkan peranan penting.

© New Straits Times Press (M) Bhd

More in National

View all

Latest news