KANGAR – Setiausaha Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) Perlis, Azahar Hassan mengumumkan keluar daripada parti itu berkuat kuasa serta-merta, sekali gus melepaskan semua jawatan yang disandang dalam parti.
Beliau yang juga Ahli Dewan Negara berkata, keputusan itu dibuat selepas melalui pertimbangan panjang, penelitian sewajarnya serta muhasabah mendalam terhadap perkembangan semasa.
Menurut, keputusan tersebut dibuat berdasarkan prinsip, pendirian dan pertimbangan peribadi demi meneruskan hala tuju perjuangan yang diyakini.
“Saya dengan ini mengisytiharkan keluar sebagai ahli Bersatu, berkuat kuasa serta-merta dan melepaskan semua jawatan dalam parti termasuk Setiausaha Bersatu Negeri Perlis.
“Walaupun begitu, tugas saya sebagai Ahli Dewan Negara akan saya teruskan demi tanggungjawab kepada rakyat Perlis,” katanya pada Khamis.
Azahar berkata, keputusan itu dibuat dengan penuh rasa hormat terhadap parti serta seluruh warga perjuangan Bersatu yang telah bersama-sama melalui pelbagai cabaran sepanjang tempoh penglibatannya.
Beliau turut merakamkan penghargaan kepada Presiden Bersatu, Tan Sri Muhyiddin Yassin, barisan kepimpinan parti di semua peringkat serta ahli-ahli parti yang telah memberikan kepercayaan, sokongan dan kerjasama kepadanya sepanjang menggalas amanah dalam parti.
“Segala pengalaman, jasa, persahabatan dan ruang berkhidmat yang diberikan akan sentiasa saya kenang dan hargai,” ujarnya.
Bagaimanapun, beliau tidak memperincikan hala tuju politik selepas keluar daripada Bersatu.



