Shan United mahu jadi pengacau JDT

Shan United mahu jadi pengacau JDT

sukan@hmetro.com.my

Iskandar Puteri: Walaupun tidak berpeluang layak ke pusingan seterusnya, Shan United FC masih bernafsu untuk menumbangkan Johor Darul Ta’zim (JDT) dalam aksi Kumpulan B Kejuaraan Kelab ASEAN (ACC) merebut Piala Shopee di Stadium Sultan Ibrahim, petang esok.

Pengendalinya, Han Win Aung mengakui ia bukanlah tugas mudah untuk membawa pulang sekurang-kurangnya satu mata menentang Harimau Selatan yang disifatkan sebagai antara kelab terbaik di Asia Tenggara.

Beliau menuntut anak buahnya menterjemahkan momentum kemenangan dalam liga domestik pada perlawanan penting itu selepas belum tewas dalam 91 perlawanan domestik sejak 2022.

“Kita tahu JDT adalah pasukan hebat dan kualiti aksi di peringkat domestik berbeza dengan kejohanan bertaraf ASEAN ini.

“Bagaimanapun, saya berharap pemain dapat memberikan aksi terbaik sepanjang permainan biarpun sedar peluang kita untuk layak sudah tertutup,” katanya pada sidang media praperlawanan, hari ini.

Untuk rekod, penyandang juara Liga Kebangsaan Myanmar itu berada di kedudukan tercorot Kumpulan B selepas gagal mengutip sebarang mata daripada tiga perlawanan.

Win Aung turut memberi bayangan akan menurunkan pemain yang kembali menyertai pasukan iaitu pemain import dari Ivory Coast, Moussa Bakayoko dalam misi memburu gol di stadium keramat JDT.

© New Straits Times Press (M) Bhd

Scroll to Top