Universal Music Malaysia bersama PMP Entertainment tampil dengan kejutan istimewa apabila mengumumkan pelancaran semua lapan album Datuk Sheila Majid dalam format vinyl, menjadikannya artis Malaysia pertama yang memiliki koleksi penuh seumpama ini.
Edisi terhad ini bukan sekadar meraikan ulang tahun ke-40 penyanyi lagenda itu dalam industri muzik, tetapi juga hadiah buat peminat yang membesar dengan karya-karya agung beliau.
Menurut Pengarah Kanan A&R dan Pengurusan Artis Universal Music Malaysia, Hermond Cheng, pelancaran vinyl ini juga diadakan bersempena Konsert Sheila Majid 40 Years in Music yang dijadual berlangsung pada 8 November 2025.
“Ramai peminat sering bertanya bila semua album Datuk Sheila Majid akan tersedia dalam format vinyl. Ini kali pertama seorang artis Malaysia memiliki kesemua album dalam format eksklusif ini. Kami harap ia dapat mengimbau nostalgia dan perjalanan seni beliau kepada para peminat,” katanya.
Limited dengan hanya 300 set vinyl

Lebih istimewa, hanya 300 set vinyl ini akan dikeluarkan, menjadikannya koleksi yang sangat eksklusif.
Pra-tempahan dibuka bermula 23 September 2025, pda jam 12 tengah hari dengan harga istimewa RM1,499, manakala harga biasa selepas itu ialah RM1,599. Vinyl ini akan dilancarkan secara rasmi pada 5 Oktober 2025.
Projek bersejarah ini turut mendapat kerjasama daripada EMI Music / Universal Music, Warner Music Malaysia dan Magada Entertainment Sdn Bhd.
Set penuh vinyl ini memuatkan lapan album ikonik Sheila Majid iaitu Dimensi Baru, Emosi, Warna, Legenda, Ratu, Ku Mohon, Cinta Kita dan Boneka sebuah koleksi berharga bukan sahaja untuk peminat setia, malah pencinta muzik dan pengumpul vinyl.
Untuk maklumat lanjut mengenai pra-tempahan dan butiran pelancaran, ikuti laman rasmi Universal Music Malaysia di media sosial.




