Sheila Majid Enggan Panjangkan Isu Royalti Lagu Sinaran – “Ia Tak Ada Kaitan Dengan Saya”

Sheila Majid Enggan Panjangkan Isu Royalti Lagu Sinaran – “Ia Tak Ada Kaitan Dengan Saya”

Penyanyi tersohor negara, Datuk Sheila Majid memilih untuk tidak memberikan sebarang komen lanjut berhubung isu tuntutan royalti lagu popular nyanyiannya berjudul  Sinaran, yang dibangkitkan baru-baru ini.

Kata Sheila ketika ditemui XTRA, isu tersebut jelas tidak melibatkan dirinya secara langsung sebaliknya kepada syarikat penerbitan.

“Saya rasa tak perlu komen, perkara ini pun sudah lepas dan selesai.

“Lagipun soalan itu pun bukan ditujukan kepada saya, tapi kepada syarikat penerbita.

“Jadi tak perlu kita panjangkan dan sensasikannya,” ulasnya.

Sheila berkata demikian ketika ditemui pada majlis pelancaran single terbaharunya berjudul, Moving On yang berlangsung di Pavillion, Damansara Heights, pada Rabu.

Mengulas lanjut,  beliau tidak mahu mengeruhkan keadaan atau memanjangkan isu yang telah pun diselesaikan.

“Apabila keluar artikel tentang perkara ini, saya tahu ia tiada kaitan dengan saya.

“Jadi tiada sebab untuk saya terasa atau ‘triggered’. Apa sahaja salah faham yang berlaku itu antara mereka. Dan ia sudah berjaya diselesaikan dan kita tak perlu lagi komen pasal perkara itu,” tegasnya.

Terdahulu, penyanyi Datuk Nora Ariffin, mendedahkan arwah bekas suaminya yang juga komposer terkenal, Allahyarham Johan Nawawi hanya menerima bayaran sebanyak  RM60 sahaja bagi lagu hit tersebut.

Namun, Nora menegaskan menerusi kenyataannya kepada media bahawa isu itu tidak ditujukan kepada Sheila atau berkait dengan konsert penyanyi itu yang dijadualkan berlangsung pada 8 November depan.

Sekadar info, lagu Sinaran yang diterbitkan pada tahun 1986 adalah hasil ciptaan bersama Datuk Adnan Abu Hassan dan Allahyarham Johan Nawawi.

Bahkan, lagu ini terus menjadi antara karya ikonik dalam kerjaya seni Datuk Sheila Majid.

Scroll to Top