Sheqal sukar bernafas, bacaan oksigen turun

Sheqal sukar bernafas, bacaan oksigen turun

mohamadridzuan@hmetro.com.my

Kuala Lumpur: Penyanyi Sheqal, 60, dikejarkan ke Hospital Tuanku Jaafar (HTJ) Seremban pada Khamis lalu akibat kesukaran bernafas dan kini ditidurkan.

Isterinya, Normah Mohd Yusoff berkata, dia menghubungi ambulans dan petugas kesihatan yang tiba mendapati bacaan oksigen Sheqal menurun.

“Sebaik tiba di HTJ, suami terus dimasukkan ke Unit Rawatan Rapi (ICU), kemudian diberikan oksigen namun pernafasannya masih tidak stabil.

“Jadi mereka putuskan untuk tidurkan dia. Doktor kata paru-paru suami ada air dan ada jangkitan paru-paru. Doktor dah keluarkan air dari paru-parunya.

“Penyakit lain seperti darah tinggi dan kencing manis dah agak stabil. Pada masa itu bacaan darah tinggi dia naik. Keadaan buah pinggang pula masih macam dulu pada tahap empat,” katanya kepada Harian Metro.

Menurutnya, doktor memaklumkan belum ada keperluan untuk suaminya melakukan dialisis dan dia menyerahkan keputusan lanjut kepada mereka.

“Doktor mahu melakukan pemeriksaan lanjut untuk mengenal pasti penyakit lain sekiranya ada. Sekarang yang penting mereka nak periksa kenapa dia semput.

“Adakah sebab darah tinggi, ataupun adakah sebab dia demam dan sebagainya, segalanya masih dalam pemantauan doktor,” katanya.

Sheqal atau nama sebenarnya Shahrin Salehuddin yang popular menerusi lagu Cinta Nusantara pada era 90-an kini semakin menunjukkan tanda positif.

“Bacaan paras oksigennya makin stabil. Dia juga sudah dipindahkan ke wad biasa,” katanya.

© New Straits Times Press (M) Bhd

Scroll to Top