Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim menegaskan sebarang tindakan terhadap penjawat awam, termasuk pertukaran jawatan, perlu dibuat mengikut prosedur dan peraturan undang-undang yang ditetapkan, lapor Buletin TV3.
Beliau berkata, tindakan terhadap Ketua Pengarah Agensi Kawalan dan Perlindungan Sempadan (AKPS), Datuk Seri Mohd Shuhaily Mohd Zain, dibuat berdasarkan siasatan terhadap dakwaan yang dikaitkan dengannya dan tidak wajar dipolemikkan.
Menurut Anwar, sumbangan serta rekod perkhidmatan seseorang pegawai tidak boleh dijadikan alasan untuk mengetepikan proses siasatan sekiranya timbul dakwaan salah laku.
“Apakah dia (Mohd Shuhaily) tiada jasa? Dia ada jasa. Tapi kerja mesti profesional. Kalau ada dakwaan orang ramai atau polis, itu soal siasatan. Kalau didakwa, ikut proses peraturan negara,” katanya.
Foto arkib: Bernama
Beliau berkata demikian ketika menjawab soalan Datuk Seri Shahidan Kasim (PN-Arau) pada sesi Pertanyaan Perdana Menteri di Dewan Rakyat hari ini berhubung pertukaran Mohd Shuhaily ke Polis Diraja Malaysia (PDRM).
Anwar turut menegaskan setiap laporan polis perlu melalui siasatan sewajarnya, manakala keputusan untuk membawa sesuatu kes ke mahkamah adalah di bawah bidang kuasa Jabatan Peguam Negara.
Ujarnya, tiada mana-mana pihak termasuk Perdana Menteri dan Kementerian Dalam Negeri (KDN) sepatutnya mencampuri urusan siasatan yang sedang berjalan.
Dalam pada itu, beliau mengingatkan bahawa kedudukan dan jasa seseorang penjawat awam tidak seharusnya mempengaruhi pelaksanaan proses undang-undang sekiranya terdapat dakwaan yang perlu disiasat.
Foto arkib: Bernama
Untuk rekod, Mohd Shuhaily sebelum ini didakwa di Mahkamah Majistret Sepang atas dua pertuduhan menyebabkan kecederaan terhadap dua anggota polis di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) pada 28 September lalu.
Bagaimanapun, beliau mengaku tidak bersalah terhadap kedua-dua pertuduhan berkenaan.
Sumber: Buletin TV3 (Farah Nabilah Wazer)




