Shuib sanggup hilang status duta KK Mart, percaya pada konsep rezeki Allah

Shuib sanggup hilang status duta KK Mart, percaya pada konsep rezeki Allah

Pelawak, Shuib atau nama sebenarnya Shahmira Muhammad sanggup ‘hilang’ status sebagai duta KK Mart berhubung isu penjualan stoking tertera kalimah Allah di kedai serbaneka tersebut, baru-baru ini.

Shuib duta KK Mart marah, tak sokong

Memetik laporan Kosmo! Online, Shuib berkata kecuaian sehingga menyentuh sensitiviti agama tidak seharusnya berlaku dalam mana-mana bidang perniagaan.

Pelawak berusia 40 tahun itu kecewa dan marah kerana kalimah Allah adalah perkara yang sensitif.

“Sebagai seorang umat Islam, saya akui terkesan dan perkara sebegitu tak sepatutnya berlaku dalam mana-mana bentuk perniagaan atau pun situasi.
“Kita akan marah sebab kalimah Allah ini benda yang terlalu besar. Kalau benar, saya tidak akan menyokong, saya tak akan mengiyakan langsung sebab ini tanggungjawab saya sebagai seorang umat Islam,”katanya.

Artikel lain: Penghina kalimah Allah di Dubai didenda hingga RM2 juta, penjara 5 tahun – Ahli perniagaan

Tegas Shuib, kalimah Allah yang ada pada stoking tersebut merupakan penghinaan buat umat dan agama Islam.

Ia sememangnya perbuatan yang sangat keji dan tidak seharusnya tercetus dan berlaku.

“Apa pun, isu ini masih belum selesai dan siasatan masih dijalankan, jadi saya tidak boleh ulas lanjut kerana melibatkan perniagaan dan juga sensitiviti orang lain.
“Saya akan teguh berdiri sebagai seorang umat Islam yang tidak akan sesekali menyokong sesuatu perkara salah,” ujarnya selaku duta KK Mart.

Shuib duta KK Mart

Bekas ahli kumpulan Sepahtu itu juga mengaku dia sedia melepaskan tanggungjawabnya sebagai duta sekiranya kedai serbaneka itu terbukti bersalah.

Ini kerana dia sentiasa percaya pada konsep rezeki dan tetap dengan prinsip sebagai seorang beragama Islam.

Sebelum ini, kecoh di media sosial mengenai stoking kalimah Allah yang dijual secara terbuka di rangkaian kedai serbaneka KK Mart sehingga menerima kecaman ramai.

Susulan itu, pihak KK Mart tampil membuat permohonan maaf secara terbuka dan pihak berkuasa kini sedang menjalankan siasatan.

Sumber: Kosmo! Online (Nur Emira Saizali)