Pelakon dan pelawak sensasi, Shuk Sahar akhirnya menjelaskan mengenai kemelut rumah tangganya bersama isteri, Fara Salleh yang sebelum ini tular di media sosial.
Kata Shuk, dia bukanlah berdiam diri dengan isu yang timbul sebaliknya tidak mahu membuat keputusan dalam keadaan yang bercelaru memandngkan dia kini sedang sibuk dengan perniagaannya sempena sambutan Hari Raya.
“Saya sebenarnya tak berani nak komen banyak. Untuk komen benda lain dengan sesiapa yang lain saya rasa ini bukan masanya.
“Pada ketika ini saya biarkan apa yang berlaku biar berlaku dulu. Sebab macam semua tahu hari raya ni memang banyak sangat nak pakai duit.
“Macam saya, keluarga dan anak- anak di Sabah lagi. Macam nanti ada lagi anak baru walaupun nampak macam saya tak bertanggung jawab tapi setakat ini memang nak kena bayar kos beranak semua nanti.
“Pada saya, buat masa sekarang saya tak nak buat apa-apa keputusan. Sebab kalau saya buat keputusan ikut hati saya tak nak keputusan yang saya buat tu adalah keputusan yang akan buat saya menyesal di kemudian hari.
“Dan, andai jodoh setakat itu kita biarkanlah sahaja lah,” katanya ketika ditemu bual bersama Melodi.

Mengulas lanjut mengenai tindakan berdiam diri yang diambil sehingga dianggap menggantung isteri tidak bertali, Shuk atau nama penuhnya, Mohammad Shukri Mohamed Sahar, 38, menegaskan, tiada istilah sedemikian memandangkan tiada sebarang surat mahkamah diterimanya.
Lebih mengejutkan, Shuk mendedahkan bahawa perkahwinannya bersama Fara masih belum berdaftar.
“Tak, saya tak akan biarkan macam tu kalau dia betul telah failkan di Mahkamah, saya tengah tunggu surat Mahkamah.
“Kalau betul dah failkan cerai mesti akan keluar surat Mahkamah. Tapi kalau perkahwinan pun masih belum berdaftar macam mana nak isu dekat mahkamah.
“Kenapa tak berdaftar lagi? Boleh tanya dekat Fara, sebab dia suka bercerita,” jelasnya.

Walaupun mengaku masih menyayangi isterinya itu, Shuk bagaimanapun mempunyai alasan kukuh kenapa dia enggan memberikan komen balas terhadap hantaran yang dibuat Fara selama ini.
Bahkan, Shuk menepis dakwaan kononnya dia lebih mementingkan kawan dari isteri sendiri.
Ini termasuklah, tuduhan tidak mahu mengaku sebagai ayah kepada kandungan Fara.
“Of course, siapa yang tak sayang isteri. Tapi kita ada satu limit. Berdiam itu kalau betul saya ni seorang yang tidak bertanggungjawab, kaki pukul, kenapa cerita ni tak pernah keluar masa saya dengaan bekas isteri dulu. Melainkan dulu memang salah saya sebab saya curang.
“Dulu saya mengaku, saya salah. Itu realitinya, apa yang saya buat dulu dekat bekas isteri… selepas itu insyaa-Allah tanggungjawab terhadap anak tidak pernah berbangkit.
“Bukan nak sumpah atau apa, saya masih lagi Islam dan masih berpuasa serta menjaga solat. Boleh tanya tuan badan sendiri dia pernah pergi ke pejabat agama sebab saya pernah cakap ‘Kalau kau tinggal solat, aku rasa aku kena ceraikan kau’. Saya sangat pentingkan benda tu.
“Dan, hari ini saya cakap demi Allah saya tak pernah pun cakap ‘isteri beban, kawan-kawan yang bagi rezeki’. Jangan ambil kerja Tuhan sebab rezeki itu mutlak dari Allah.
“Persoalannya, jangan hanya tahu bercakap tapi keluarkan satu bukti yang mengatakan saya cakap anak itu bukan anak saya. Tak ada kan?
“Jadi jangan hanya bercakap. Bila saya tak cakap apa-apa orang panggil macam-macam. Boleh tanya anak-anak saya yang lain macm mana saya layan mereka.
“Ini bukan soal kecewa tapi lebih kepada kita pernah hidup bersama. Media sosial bukan tempatnya. Hakikatnya kita sama-sama bersalah.
“Pada saya usaha tak datang dari sebelah pihak. Tapi kedua-duanya. Andai kata ada jodoh, ada… begitu juga sebaliknya,” ujarnya.




