am@hmetro.com.my
Kota Bharu: Persatuan Aktivis Sahabat Alam (KUASA) mengharapkan calon yang menang pada Pilihan Raya Kecil (PRK) Dewan Undangan Negeri (DUN) Nenggiri 17 Ogos kelak akan memperjuangkan isu kemusnahan hutan di kawasan berkenaan.
Pengerusinya, Hafizudin Nasarudin, berkata, sekiranya isu itu tidak diperjuangkan dan diberi keutamaan, lebih banyak tanah akan diteroka sekaligus menjejaskan kehidupan penduduk Orang Asli.
“Saban tahun pembukaan tanah diluluskan kerajaan negeri dan dalam tempoh tiga tahun, (sebanyak) 48 projek diluluskan membabitkan keluasan 13,000 hektar.
“Jika dibiarkan, banyak lagi pembukaan tanah akan dilakukan dan semestinya pelbagai ancaman binatang liar (gajah dan harimau) terpaksa dihadapi penduduk susulan habitatnya semakin mengecil.
“Apa yang KUASA minta, calon yang menang tidak kira Barisan Nasional (BN) atau Perikatan Nasional (PN), perlu ada komitmen tinggi dan membantu memperjuangkan isu kemusnahan hutan di DUN Nenggiri.
“Kita tidak mahu kelulusan tebang habis atau ‘cuci mangkuk’ dilakukan kerana terlalu banyak kesannya yang perlu ditanggung oleh penduduk setempat terutama di kawasan penempatan Orang Asli,” katanya semalam.
PRK DUN Nenggiri menyaksikan pertandingan satu lawan satu di antara calon BN dan PAS pada 17 Ogos ini.
BN mempertaruhkan Ketua Pemuda UMNO Kelantan, Mohd Azmawi Fikri Abdul Ghani sebagai calon mewakili Kerajaan Perpaduan, manakala pencabarnya daripada BERSATU yang juga bekas anggota Tentera Laut Diraja Malaysia (TLDM) Mohd Rizwadi Ismail.
Timbalan Menteri Besar Kelantan, Datuk Mohamed Fadzli Hassan sebelum ini menjelaskan 48 kelulusan penerokaan tanah yang dibuat sebelum ini.
Bagaimanapun katanya, kelulusan penerokaan itu membabitkan prosedur dan peraturan yang ditetapkan.
© New Straits Times Press (M) Bhd




