Sikap pinggirkan orang asal Sabah harus diubah

Sikap pinggirkan orang asal Sabah harus diubah

DALAM sensus mutakhir, bangsa-bangsa orang asal seperti Orang Asli, Iban, Kadazandusun, Bidayuh, Murut dan sebagainya telah dikumpulkan bersama bangsa Melayu, bangsa paling dominan di Malaysia sebagai Bumiputera yang membentuk 69.4 peratus daripada jumlah 32.4 juta penduduk Malaysia sehingga Februari lalu.

Besar kemungkinan hanya ada dua juta lebih orang asal (Orang Asli, Iban, Kadazandusun dan lain-lain) yang bukan dikategori bangsa Melayu ini dan jumlahnya semakin perlahan bertumbuh atas sebab orang asal yang memeluk Islam akan bertukar menjadi Melayu pada keturunan berikutnya.

Hal ini mungkin tidak menggerakkan hati atau niat mana-mana pemerintah untuk betul-betul memerhatikan kebajikan, pembangunan dan kemajuan golongan Bumiputera non-muslim ini.

Ini pemerhatian personal saya dan tidak bermakna kita menidakkan hak Melayu atau sesiapa di bumi Malaysia ini sebab kita semua adalah Keluarga Malaysia.

Pada saya, lebih ramai dan lebih pelbagai bangsa keturunan kita adalah lebih baik, asalkan semua mengikuti prosedur yang betul seperti mendapatkan kewarganegaraan.

Dalam politik juga, parti-parti atau gabungan parti kelihatan bersikap dingin terhadap Bumiputera bukan Islam dan hanya menggunakan angka mereka untuk menjustifikasi permintaan peruntukan yang besar dari Perbendaharaan Pusat.

Namun, apabila peruntukan itu diterima, sangat sedikit dibelanjakan untuk kebajikan, pembangunan dan penyertaan dari Bumiputera non-muslim ini.

Ini boleh dilihat dari segi peruntukan infrastruktur, rumah ibadat, biasiswa, peluang projek dengan kerajaan, peluang ekonomi dan pinjaman besar, agihan saham dan jawatan terkanan termasuk dalam GLC juga, senator dan seumpamanya.

Inilah antara sebab kemunduran dan kemiskinan masih sangat tinggi di kalangan Bumiputera non-muslim di Semenanjung, Sabah dan Sarawak ini.

Sudah sampai masanya Malaysia memerhatikan anomali ini, memperbetulkan ketidak-seimbangan dan ketidak-pedulian terhadap Bumiputera non-muslim.

Saya fikir Bumiputera non-muslim tidak mempersoal dominasi Bumiputera Melayu/Muslim, malahan cukup menghormati hak dan peranan mereka selaku pemimpin atau ketua bukan saja kepada golongan Bumiputera, tetapi semua pelbagai bangsa di Malaysia.

Ini boleh dilihat menerusi trend kebersamaan Bumiputera non-muslim ini dengan Bumiputera Melayu sejak dulu sehingga mutakhir ini.

Saya sendiri menyertai Parti Bumiputera Perkasa Malaysia (Putra), yang mana namanya adalah Parti Bumiputera.

Sudah tentu sebagai parti didominasi Melayu Islam, perjuangan yang terkedepan dan terutama ialah mengenai bangsa Melayu dan Islam dan ini kita tidak mempersoalnya kerana kita juga diberi ruang dan platform untuk bersuara dalam parti kita masing-masing.

Bersempena dengan Hari Orang Asal Sedunia hari ini, saya menyeru lebih ramai orang asal tampil ke hadapan memberanikan diri bersama-sama memimpin dalam apa jua lapangan yang baik demi kebaikan orang asal supaya kita terus relevan dan didengar oleh mana-mana pun jajaran politik negara demokrasi ini.

Jangan kita berdiam diri. Jangan kita menjadi pengikut semata kepada mana-mana yang sudah gagal membela kita, mendengar kita.

Parti Putra dan payungnya Gerakan Tanah Air (GTA) merupakan pilihan terbaru platform perjuangan pembaharuan dalam negara yang mengutamakan pembersihan pemerintahan supaya bebas rasuah dan diketuai mereka yang kompeten, berpaksikan kepada kuasa Melayu dan Bumiputera. – MalaysiaGazette

Penulis, Kanul Gindol adalah Pengerusi Gindol Initiative for Civil Society Borneo merangkap Timbalan Pengerusi II Putra Sabah, Kota Kinabalu