am@hmetro.com.my
Nibong Tebal: Lelaki warga asing yang mengutip derma khairat menggunakan surat kebenaran palsu kononnya ditandatangani Pengarah Jabatan Hal Ehwal Agama Islam Pulau Pinang (JHEAIPP) ditahan di sebuah masjid di Kampung Kepala Gajah, Simpang Ampat di sini, malam ini.
Penahanan suspek berusia 39 tahun itu dibuat kira-kira 8 malam susulan aduan daripada pejabat agama dan orang awam berhubung kegiatan berkenaan.
Ketua Unit Operasi Bahagian Penguatkuasaan JHEAIPP, Muhamad Helmi Rosley, berkata pihaknya sebelum ini melakukan risikan selama sebulan sebelum mengesan sindiket itu yang aktif mengutip derma khairat di pasar malam dan pasar raya seluruh negeri ini.
“Hasil siasatan mendapati modus operandi digunakan adalah mempamerkan surat palsu dengan kepala surat Jabatan dan ditandatangani Pengarah JHEAIPP bagi meyakinkan orang ramai untuk menderma.
“Kegiatan ini dijalankan kira-kira dua bulan lalu dengan purata kutipan sehari yang diperoleh mencecah antara RM150 hingga RM250.
“Berdasarkan hasil kutipan ini, kita tidak menolak kemungkinan terdapat lebih daripada tiga orang menjalankan kutipan khairat dan mereka ini didalangi sindiket,” katanya kepada pemberita, hari ini.
Menurutnya, JHEAIPP mengingatkan kutipan derma bagi tujuan kebajikan perlu mendapat kebenaran dan kelulusan bertulis daripada Majlis Agama Islam Negeri Pulau Pinang (MAINPP).
“Orang ramai dinasihatkan supaya berhati-hati sebelum menyalurkan sumbangan dan merujuk surat kebenaran dengan pihak jabatan bagi mengelakkan penipuan,” katanya.
Difahamkan, suspek akan didakwa di Mahkamah Syariah Tinggi Pulau Pinang pagi ini.
© New Straits Times Press (M) Bhd




