Sindiket pelaburan dalam talian tidak wujud tumpas di Melaka

Sindiket pelaburan dalam talian tidak wujud tumpas di Melaka

MELAKA: Polis berjaya menumpaskan satu sindiket penipuan pelaburan saham dalam talian tidak wujud yang menyasarkan warga China menerusi dua serbuan berasingan di kawasan Melaka Tengah, awal pagi semalam.

Dalam operasi berkenaan, seramai 12 individu termasuk 10 lelaki warga China, seorang lelaki tempatan dan seorang wanita tempatan ditahan di dua buah rumah banglo dua tingkat yang dijadikan pusat operasi sindiket tersebut.

Pemangku Ketua Polis Daerah Melaka Tengah, Superintenden Halim Abas berkata, serbuan pertama dijalankan kira-kira pukul 2.30 pagi oleh sepasukan pegawai dan anggota Jabatan Siasatan Jenayah Komersial (JSJK) Melaka di sebuah kediaman di Taman Pertubuhan Perdana.

Menurut beliau, pemeriksaan di premis itu membawa kepada penahanan lima lelaki warga China dan seorang lelaki tempatan berusia antara 23 hingga 43 tahun.

“Hasil pemeriksaan turut menemukan enam set komputer bersama monitor, enam unit CPU, enam telefon bimbit dan sebuah modem serta router yang dipercayai digunakan dalam kegiatan penipuan pelaburan dalam talian.

“Siasatan awal mendapati sindiket ini menjalankan aktiviti penipuan pelaburan tidak wujud yang menyasarkan warga China melalui platform tertentu yang menawarkan pelaburan saham secara dalam talian,” katanya pada sidang akhbar di Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Melaka hari ini.

Halim berkata, kira-kira 30 minit kemudian, pasukan yang sama menyerbu sebuah lagi kediaman berhampiran dan menahan lima lelaki warga China serta seorang wanita tempatan berbangsa Punjabi berusia antara 27 hingga 47 tahun.

“Keseluruhan rampasan membabitkan pelbagai peralatan elektronik yang digunakan untuk menjalankan kegiatan penipuan dalam talian dengan anggaran nilai kira-kira RM40,000.

“Semakan yang dijalankan oleh pakar analisa media sosial polis mendapati kedua-dua premis dipercayai digunakan oleh sindiket sama yang menawarkan pelaburan saham palsu kepada mangsa di China,” katanya.

Beliau berkata, suspek berperanan sebagai operator khidmat pelanggan yang menghubungi mangsa, memberi penerangan mengenai skim pelaburan dan menghantar pautan tertentu sebelum mangsa membuat pembayaran.

Menurutnya, siasatan awal mendapati sindiket itu mula aktif sejak awal Jun lalu dengan menjadikan kediaman mewah di sekitar Melaka Tengah sebagai pusat operasi bagi mengelakkan kegiatan mereka dikesan pihak berkuasa.

“Setakat ini polis masih menyiasat jumlah sebenar mangsa dan nilai kerugian yang dialami, selain meneliti rangkaian sindiket yang dipercayai masih bebas,” ujarnya.

Beliau berkata, berdasarkan siasatan awal, sasaran mereka adalah warga China kerana penggunaan dialek Mandarin dan bahasa yang digunakan lebih sesuai untuk pasaran negara tersebut.

Jelasnya, polis turut menyiasat peranan setiap suspek termasuk seorang wanita tempatan yang dipercayai bertindak sebagai orang tengah bagi memudahkan urusan operasi sindiket di negara ini.

Katanya, kes disiasat mengikut Seksyen 420 Kanun Keseksaan kerana menipu dan Seksyen 120B Kanun Keseksaan kerana pakatan jenayah.

Dalam masa sama, polis turut menjalankan siasatan mengikut peruntukan Akta Imigresen 1959/63 bagi menyemak status kemasukan dan dokumen perjalanan warga asing yang ditahan.

Kesemua suspek direman selama 14 hari dari 10 hingga 23 Jun ini bagi membantu siasatan. – UTUSAN

Scroll to Top