ercy.gracella@bh.com.my
Putrajaya: Penggunaan Sistem Penilaian Prestasi Demerit (DEEP) akan diperluaskan kepada semua Ketua Perkhidmatan dan Ketua Jabatan agensi awam, mulai tahun hadapan.
Ketua Setiausaha Negara, Tan Sri Shamsul Azri Bakar, berkata langkah itu bukan untuk menghukum tetapi bagi memastikan tadbir urus yang lebih baik dan peningkatan prestasi yang menyeluruh dalam setiap peringkat perkhidmatan awam.
“Pelaksanaan DEEP bukanlah untuk menghukum sesiapa tetapi untuk menambah baik perkhidmatan kepada rakyat dan konsepnya bukan hanya demerit tetapi juga re-merit.
“Sebelum ini, pelaksanaan DEEP hanya kepada Ketua Setiausaha setiap agensi kerajaan, namun kini ia akan diperluaskan kepada Ketua Pengarah dan Pengarah-Pengarah (Ketua Perkhidmatan dan Ketua Jabatan setiap agensi awam) ,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika menyampaikan amanat pada Majlis Simposium Penilaian Strategik bagi Agenda Reformasi Perkhidmatan Awam (ARPA) di sini, hari ini.
Turut hadir, Ketua Pengarah Perkhidmatan Awam, Tan Sri Wan Ahmad Dahlan Abdul Aziz dan Ketua Polis Negara, Datuk Seri Mohd Khalid Ismail.
Susulan perluasan penggunaan DEEPitu, Shamsul Azri berkata, skuad pemantau atau Flying Squad Agenda Reformasi Perkhidmatan Awam (ARPA) akan ditubuhkan sebagai langkah pemantauan yang lebih kreatif, terselaras dan berkesan bagi memperkukuh pelaksanaan inisiatif ARPA.
“Pasukan ini berperanan menjalankan pemantauan di lapangan melalui ‘mystery shopping’ bagi menilai kualiti perkhidmatan, tahap pematuhan peraturan serta mengumpul maklumat mengenai inisiatif yang dilaksanakan kerajaan.
“Pelaksanaan Skuad Pemantau ARPA ini akan diterajui bersama oleh Jabatan Perkhidmatan Awam (JPA), Unit Penyelarasan Lonjakan Prestasi (PACU), Perbadanan Produktiviti Malaysia (MPC), dan Unit Pantau MADANI,” katanya.
Dalam pada itu, Shamsul Azri menegaskan kerangka ARPA bukan sekadar dokumen statik, tetapi sebuah ekosistem yang dinamik dan fleksibel.
“Selaras dengan hasrat ini, saya menggesa Chief Reform Officer (CRO) mempercepatkan implementasi dan pelaksanaan inisiatif yang sudah dimuktamadkan.
“Peranan CRO ini penting bagi memastikan idea bernas tidak terhenti di peringkat perancangan, sebaliknya diterjemahkan kepada tindakan dan hasil yang konkrit, demi kepentingan rakyat,” katanya.
© New Straits Times Press (M) Bhd




