Siti Hajartul Haini dan tiga wanita lain direman 3 hari

Siti Hajartul Haini dan tiga wanita lain direman 3 hari

am@hmetro.com.my

Jitra: Wanita yang ditahan polis dipercayai terbabit dengan penipuan jualan emas membabitkan kerugian jutaan ringgit direman tiga hari bermula hari ini untuk membantu siasatan.

Perintah reman dikeluarkan oleh Majistret Nurul Huda Idris di Mahkamah Jitra, hari ini.

Turut direman, tiga wanita yang ditahan bersamanya dipercayai terbabit dalam kegiatan itu.

Kesemua mereka berusia antara 29 hingga 37 tahun.

Harian Metro hari ini melaporkan, wanita dikehendaki polis, Siti Hajartul Haini Abd Hamid berhubung penipuan jualan emas membabitkan kerugian jutaan ringgit ditahan semalam.

Muka depan Metro Ahad sebelum ini melaporkan lebih 100 mangsa berputih mata apabila kerugian lebih RM110 juta selepas diperdaya dengan harga emas 916 yang lebih rendah dari pasaran oleh wanita dikenali Siti Hajartul Haini Abd Hamid sejak dua bulan lalu.

Kebanyakan mangsa yang bekerja di satu unit di sebuah hospital awam di Lembah Klang selain guru di beberapa negeri, kini diburu kerana menjadi orang tengah yang mengumpul wang berkenaan.

Sama seperti skim kutu yang memperdaya mangsa sebelum ini, pelabur ditawarkan dengan harga murah sehingga ada yang sanggup meminjam daripada saudara mara, rakan dan peminjam wang tanpa lesen semata-mata merebut ‘tawaran hebat’ terbabit.

© New Straits Times Press (M) Bhd

Scroll to Top