PEMAJU hartanah bandar, SkyWorld Development Berhad (SkyWorld) memperkukuh kedudukan sebagai peneraju segmen perumahan mampu milik menerusi pelancaran SkyAwani PRIMA Residences.
Ketua Pegawai Eksekutif SkyWorld Development Berhad, Lee Chee Seng berkata, pelancaran itu sejajar dengan komitmen syarikat, ‘Make Living Better’ melalui penawaran kediaman yang lengkap dan terletak di lokasi strategik.
“Menerusi kemudahan Maybank MyDeco Financing bagi projek SkyAwani PRIMA, pembeli tidak lagi perlu menangguhkan atau terbeban untuk membuat pengubahsuaian.
“Mereka boleh merancang dan mendekorasi rumah impian lebih awal secara terancang dan lancar,” katanya.
SkyWorld menjadi pemaju pertama di Malaysia yang menawarkan kemudahan pembiayaan tersebut bagi projek yang masih dalam fasa pembinaan.
Melalui inisiatif berkenaan, pembeli SkyAwani PRIMA yang layak boleh memohon pembiayaan sehingga 120 peratus (terhad kepada RM250,000) dengan tambahan 30 peratus dikhususkan untuk kerja-kerja hiasan dalaman.
Sebagai tambahan, SkyWorld turut memperkenalkan platform e-dagang Solution+ melalui aplikasi SkyWorld Connects yang membolehkan pemilik rumah memilih pakej hiasan dalaman di bawah pembiayaan MyDeco.
Sementara itu, Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan, Perkhidmatan Kewangan Komuniti Maybank, Syed Ahmad Taufik Albar berkata, kemudahan itu memberi nilai tambah kepada pembeli.

Dari kiri: Ketua Prestasi Perniagaan dan Produktiviti Wilayah Persekutuan, A Kokilavanee; Chee Seng; Ketua Kewangan Pengguna Maybank, Zolkefli Awang; Timbalan Perdana Menteri II, Datuk Seri Fadillah Yusof; Menteri Pembangunan Kerajaan Tempatan, Nga Kor Ming; Ketua Bahagian Pembiayaan Perumahan Maybank, Tracy Pan; Pengarah Wilayah Persekutuan, Datin Sri Munirah Che Rose dan Ketua Perbankan Pengguna Wilayah Persekutuan Maybank, Harfizan Mohamed Kassim semasa majlis pelancaran SkyAwani PRIMA Residences.
“Dengan perluasan MyDeco Financing kepada unit dalam pembinaan buat pertama kalinya, pelanggan kini boleh merancang lebih awal dan mereka ruang yang benar-benar terasa seperti rumah sendiri.
“Kami berbangga menyokong inisiatif ini untuk menjadikan pemilikan rumah lebih mudah dicapai sambil membantu pelanggan melangkah dengan lebih bermakna,” ujarnya.
Projek terbaharu hasil kerjasama strategik dengan Perbadanan PR1MA Malaysia (PR1MA) itu merupakan kesinambungan kepada kejayaan Awani Series yang sebelum ini telah meraih pengiktirafan antarabangsa.
Ia termasuk kemenangan berturut-turut Anugerah Emas FIABCI World Prix d’Excellence, iaitu projek SkyAwani 2 Residences, Sentul (2022) dan SkyAwani 3 Residences, Setapak (2023).
SkyAwani PRIMA dibangunkan di atas tanah pajakan seluas 0.8 hektar dan menawarkan 492 unit kediaman berkeluasan 900 kaki persegi pada harga mampu milik RM390,000 seunit.
Penduduk turut menikmati akses berjalan kaki ke Mid Valley Megamall, rangkaian pengangkutan awam, institusi pendidikan, pusat kesihatan dan kawasan komersial berdekatan.
Majlis pelancaran sempena Persidangan Hartanah ASEAN (ASEAN Real Estate Conference) tersebut dirasmikan oleh Timbalan Perdana Menteri II, Datuk Seri Fadillah Yusof bersama Menteri Pembangunan Kerajaan Tempatan, Nga Kor Ming.
Acara berkenaan menerima sambutan hangat dengan lebih 3,000 pendaftaran dan pemilihan pembeli dilakukan melalui undian bagi menempatkan 492 pemilik bertuah.