SME Bank menterai MoU bersama lima pemain industri bagi tingkat potensi PKS

SME Bank menterai MoU bersama lima pemain industri bagi tingkat potensi PKS

LANGKAWI: Satu memorandum persefahaman (MoU) telah ditandatangani oleh Small Medium Enterprise Development Bank Malaysia Berhad (SME Bank) sebagai inisiatif usaha sama bagi memacu pertumbuhan peluang kemajuan perusahaan kecil dan sederhana (PKS) dalam industri penerbangan serta maritim.

MoU itu ditandatangani melibatkan lima pemain industri iaitu Sani Ferry Sdn Bhd, Galaxy Aerospace (M) Sdn. Bhd, Kembara Station Sdn. Bhd, Clearwisdom Sdn. Bhd dan Aerotree Defence & Services Sdn. Bhd.

Menteri Pembangunan Usahawan dan Koperasi (KUSKOP), Datuk Ewon Benedick berkata, kementerian memuji inisiatif dilaksanakan oleh SME Bank itu atas usaha bagi menggiatkan semula prestasi ekonomi PKS dalam industri tersebut melalui kerjasama berkenaan.

“Inisiatif ini secara tidak langsung telah menyumbang ke arah merealisasikan matlamat kerajaan untuk membuka lebih banyak peluang dan meningkatkan penyertaan syarikat tempatan dalam rantaian bekalan bernilai tinggi ini.

“Dengan memanfaatkan kepakaran dan pencapaian pemain industri, PKS akan memperoleh sokongan yang tepat untuk terus memacu dan meningkatkan pertumbuhan perniagaan mereka,” katanya.

MoU antara SME Bank dan lima pemain industri itu ditandatangani oleh Presiden Kumpulan/Ketua Pegawai Eksekutif SME Bank, Datuk Wira Dr. Aria Putera Ismail bersama wakil syarikat masing-masing dengan turut disaksikan oleh Ketua Setiausaha Pembangunan Keusahawanan dan Koperasi, Datuk Seri Suriani Ahmad.

Dalam pada itu, Aria berkata, melalui kerjasama strategik ini, pihaknya berharap dapat menyediakan persekitaran yang kondusif untuk kemajuan PKS membabitkan pelbagai industri.

“Kerjasama ini akan membolehkan SME Bank meluaskan jangkauannya dan memberi impak positif kepada spektrum perniagaan yang lebih luas.

“Dengan memanfaatkan maklumat terkumpul, pengalaman dan pencapaian pelanggan kami, SME Bank akan memainkan peranan penting dalam membantu meningkatkan prestasi dan potensi PKS,” katanya.

Di samping itu, Aria berkata, anak syarikat milik penuh SME Bank iaitu Centre for Entrepreneur Development and Research Sdn. Bhd. (CEDAR) juga akan menawarkan program pembangunan keusahawanan dan kapasiti bagi memperkasakan lagi PKS di negara ini.

Tambah beliau, melalui kemudahan pembelian aset atau modal berjumlah RM18.2 juta ini, ia sekali gus membolehkan pihaknya mengembangkan perkhidmatan dalam sektor pengangkutan penumpang dengan pembelian kapal tambahan.

“Usaha ini dijangka dapat meningkatkan kapasiti untuk menampung lonjakan ketibaan pelancong ke Langkawi terutamanya semasa tempoh permintaan tinggi seperti acara Pameran Udara dan Maritim Antarabangsa Langkawi 2023 (LIMA’23) ketika ini,” katanya.-UTUSAN