SMK Jalan Kebun buru tiket suku akhir

SMK Jalan Kebun buru tiket suku akhir
SMK Jalan Kebun buru tiket suku akhir

SMK Jalan Kebun sasar mara ke final dalam kejohanan Piala Datuk Mokhtar Dahari kali ini.

PASUKAN bola sepak Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Jalan Kebun bertekad menampilkan aksi terbaik dalam misi memburu tiket ke pusingan suku akhir saingan Piala Datuk Mokhtar Dahari Bawah 18 Tahun (B-18).

SMK Jalan Kebun dijadualkan membuat perhitungan dengan SMK Sultan Abdul Samad pada aksi pusingan 16 yang berlangsung hari ini, dengan kedua-dua pasukan dijangka memberikan saingan sengit bagi menempah slot ke peringkat seterusnya.

Pengurus pasukan, Jafri Chin menegaskan, pihaknya tidak memandang rendah kemampuan sebaliknya menaruh hormat sepenuhnya kepada pasukan lawan yang berjaya melangkah ke peringkat kalah mati ini.

“Kami tidak tahu status pencapaian sebenar pasukan lawan, namun kami tetap menaruh hormat kepada setiap pasukan yang bertanding dalam edisi kali ini kerana setiap daripada mereka mempunyai kelebihan tersendiri.

“Malah, kejayaan mana-mana pasukan mara ke pusingan 16 ini adalah bukti kualiti saingan yang ditawarkan cukup tinggi,” katanya kepada Sinar Harian.

Mengulas lanjut mengenai sasaran pasukan, Jafri menjelaskan SMK Jalan Kebun meletakkan harapan tinggi untuk melangkah lebih jauh dalam kejohanan berprestij itu bagi menebus kekecewaan musim lalu.

Jelasnya, pengalaman terkandas di peringkat separuh akhir sebelum meraih tempat ketiga bersama Sekolah Sukan Seksyen 11 tahun lalu dijadikan suntikan motivasi utama buat barisan pemain.

“Kami yakin dengan kemampuan pasukan untuk mara lebih jauh tahun ini, Insya-ALLAH. Sasaran utama kami sudah tentu mahu menembusi aksi final.

“Para pemain telah menunjukkan komitmen yang sangat tinggi sepanjang sesi latihan dan kami akan cuba memberikan persembahan terbaik dalam perlawanan menentang SMK Sultan Abdul Samad nanti,” ujarnya.

Scroll to Top