Soket mata jadi laluan buang tumor

Soket mata jadi laluan buang tumor

Washington: Pakar bedah di Amerika Syarikat (AS) berjaya membuang tumor tulang belakang melalui soket mata pesakit berusia 19 tahun menerusi pembedahan pertama seumpamanya yang kini membuka kemungkinan baharu dalam pembuangan ketumbuhan yang kompleks.

Portal NDTV memetik Washington Post melaporkan, Karla Flores, adalah pakar tata rias kuku dari Maryland, mengalami masalah penglihatan kabur dan semakin teruk sejak dua tahun lalu.

Dia pertama kali menyedarinya ketika belajar memandu.

Imbasan dijalankan mendapati tumor malignan yang jarang berlaku, dikenali sebagai kordoma, menekan mata kirinya.

Barah itu merebak dengan perlahan, namun berbahaya itu kelihatan seperti gelatin dan cecair.

Berikutan itu, Flores dirujuk kepada Dr Mohamed AM Labib di Pusat Perubatan Universiti Maryland, yang memaklumkan kepadanya bahawa beberapa pembedahan perlu dijalankan bagi membuang tumor.

Pembedahan pertama, pada April tahun lalu membabitkan pengalihan sementara sebahagian daripada tengkoraknya untuk mengeluarkan sebahagian besar tumor.

Bagaimanapun, doktor tidak lama kemudian menemukan jisim kedua tumor berhampiran tulang belakang serviksnya yang menyebabkan risiko, lumpuh jika tidak dirawat.

Oleh kerana pilihan pembedahan yang terhad, Dr Mohamed dan pasukannya mencipta pendekatan radikal ,mencapai tumor melalui soket mata bawah, laluan yang sebelum ini hanya dicadangkan oleh pakar bedah dalam jurnal perubatan.

Laluan tradisional melalui leher, mulut atau hidung mengundang risiko jangkitan, akses terhad atau kerosakan yang lebih tinggi.

Selepas perancangan rapi dan latihan pada mayat, pasukan pembedahan, termasuk pakar bedah rekonstruktif muka Dr Kalpesh Vakharia, meneruskan pembedahan itu pada 1 Mei tahun lalu.

Selama hampir 19 jam, mereka mengakses dan mengeluarkan tumor tulang belakang dengan berhati-hati, mengelakkan tekanan yang ketara pada mata dan struktur halus di sekeliling tulang belakang.

Selepas pembedahan, Flores menjalani prosedur penstabilan lanjut dan terapi proton untuk menyasarkan mana-mana sel tumor yang tinggal.

Walaupun dia masih memakai pendakap leher dan mengalami kesakitan, imbasan terbarunya tidak menunjukkan tanda barah berulang.

© New Straits Times Press (M) Bhd

Scroll to Top