LEICESTER, United Kingdom: Ole Gunnar Solskjaer mempertahankan keputusannya merombak skuad ketika Manchester United tewas 3-1 pada aksi suku akhir Piala FA di Leicester.
Solskjaer melakukan lima pertukaran ke atas skuad yang menewaskan AC Milan dalam aksi timbal balik kelompok 16 Liga Europa Khamis lalu.
Paul Pogba kembali membarisi kesebelasan utama tetapi Bruno Fernandes bermula di bangku simpanan sehingga babak kedua, manakala Marcus Rashford tidak disenaraikan dalam skuad ke Stadium King Power.
Perubahan taktikal Solskjaer memakan diri apabila mereka tewas buat pertama kali dalam 30 perlawanan domestik di tempat lawan.
Mason Greenwood menyamakan kedudukan selepas Kelechi Iheancho meledak gol pembukaan Leicester, tetapi jaringan babak kedua Youri Tielemans dan Iheanacho menamatkan impian kejuaraan Solskjaer.
Kini satu-satunya harapan Solskjaer menjulang trofi pertamanya sebagai pengendali United ialah menerusi saingan Liga Europa.
“Saya akan menurunkan skuad yang sama sekali lagi. Setiap pemilihan pasukan ada sebab tertentu.
“Pada Khamis Bruno memecahkan semua rekodnya dan dia juga adalah manusia. Dia bermain setiap perlawanan selang tiga atau empat hari.
“Ia adalah peluang untuk memulakan Donny (Van de Beek) dan Paul (Pogba) tetapi jumlah perlawanan mungkin memberi kesan kepada kami.
“Kami tahu kami mempunyai pemain simpanan yang boleh masuk dan membawa perubahan. Semua orang dapat melihat ketajamannya kami tidak seperti sebelumnya,” kata Solskjaer.
Tanpa sebarang trofi sejak tahun 2017, United kini 14 mata di belakang pendahulu Liga Perdana Inggeris Manchester City dan berdepan Granada pada suku akhir Liga Europa April nanti. – AFP
© New Straits Times Press (M) Bhd




