Son mahu rakan pamer aksi lebih baik

Son mahu rakan pamer aksi lebih baik

London: Kapten Tottenham Hotspur Son Heung-min, mahu rakan sepasukannya meningkatkan prestasi mereka selepas kekalahan 4-3 kepada Chelsea yang menyaksikan mereka jatuh ke tangga ke-11 dalam Liga Perdana Inggeris sekali gus memberikan tekanan lebih besar kepada pengurus Ange Postecoglou.

Son menjaringkan gol saguhati pada masa tambahan untuk Spurs, yang kehilangan pemain pertahanan tengah Cristian Romero akibat kecederaan pada awal permainan dan rakan sepasukan Micky van de Ven hampir pada penghujung aksi.

Spurs hanya memenangi satu daripada tujuh perlawanan terakhir mereka dalam semua pertandingan dan Son berkata pasukan perlu terus bersatu.

“Kita perlu bersatu dalam saat-saat sukar seperti ini, ia sangat penting dan sebab itulah kita memerlukan sokongan yang besar.

“Pemain masih baru dan mereka memerlukan sokongan lebih daripada yang kita miliki sebelum ini. Penyokong sentiasa memberikan sokongan yang luar biasa tetapi saya rasa sudah tiba masanya pemain juga perlu lebih tampil ke hadapan,” katanya kepada Sky Sports.

Postecoglou dari Australia menjalani musim kedua di Spurs dan Romero berkata beliau adalah ‘jurulatih yang hebat’.

“Kami melihatnya pada musim pertama. Pada musim kedua ini, kami mengalami banyak kecederaan.

“Pemain adalah yang pertama untuk dikritik, kemudian jika kami kalah 10 perlawanan, staf boleh ditukar, tetapi tiada siapa yang bercakap tentang apa yang sebenarnya berlaku.

“Kami sangat gembira dengan staf ini, saya dan rakan-rakan sepasukan saya. Kami suka cara mereka bekerja dan bola sepak yang mereka cuba mainkan,”katanya kepada Telemundo.

Spurs akan bertandang ke tempat lawan dengan bertemu pasukan Scotland, Rangers, dalam Liga Europa pada Khamis dan bertemu Southampton dalam Liga Perdana pada Ahad.

© New Straits Times Press (M) Bhd

Scroll to Top