SpaceX tarik perhatian pelabur global

SpaceX tarik perhatian pelabur global

Kuala Lumpur: Minat pelabur terhadap sektor angkasa lepas dan teknologi canggih terus meningkat apabila saham berkaitan SpaceX mula ditawarkan untuk dagangan menerusi platform broker antarabangsa, JustMarkets sekali gus membuka peluang kepada lebih ramai pelabur mengikuti prestasi syarikat yang menjadi antara peneraju industri angkasa lepas dunia.

Perkembangan itu dilihat mencerminkan kecenderungan pasaran global yang semakin memberi tumpuan kepada syarikat berasaskan inovasi dan teknologi masa hadapan, khususnya dalam bidang penerokaan angkasa lepas, pembuatan satelit serta penyelesaian komunikasi berasaskan orbit rendah bumi.

Pakar pasaran kewangan berpendapat kemunculan SpaceX dalam instrumen dagangan berpotensi menjadi antara peristiwa penting yang mendapat perhatian pelabur institusi dan runcit berikutan pengaruh syarikat itu dalam membentuk ekosistem ekonomi baharu berteraskan teknologi tinggi.

SpaceX sebelum ini mencuri tumpuan dunia menerusi pelbagai pencapaian dalam pembangunan roket boleh guna semula, pelancaran satelit dan projek internet satelit global, sekali gus menjadikannya antara syarikat persendirian paling bernilai dalam industri berkenaan.

Menurut pemerhati pasaran, minat terhadap syarikat teknologi disruptif dijangka terus berkembang seiring peningkatan pelaburan dalam sektor yang berkait rapat dengan transformasi digital, kecerdasan buatan (AI), teknologi angkasa dan infrastruktur komunikasi generasi baharu.

Dalam perkembangan berkaitan, broker pelbagai aset global, JustMarkets, memaklumkan bahawa saham SpaceX (SPCX) kini ditawarkan dalam senarai instrumen dagangannya bermula 17 Jun lalu.

Wakil syarikat itu berkata, penambahan instrumen berkenaan dibuat bagi memenuhi permintaan trader yang semakin berminat terhadap syarikat yang menerajui inovasi dalam pelbagai industri.

Katanya, langkah itu turut memberi peluang kepada pelanggan memantau pergerakan harga serta membuat analisis pasaran terhadap salah satu syarikat teknologi yang menjadi tumpuan global.

Saham SpaceX melengkapkan rangkaian instrumen dagangan sedia ada yang merangkumi forex, komoditi, logam berharga, indeks, mata wang kripto dan saham global.

© New Straits Times Press (M) Bhd

Scroll to Top