Speaker serah warta pembubaran DUN kepada SPR

Speaker serah warta pembubaran DUN kepada SPR
Speaker serah warta pembubaran DUN kepada SPR

Mohd Puad. Foto fail Bernama

JOHOR BAHRU – Speaker Dewan Undangan Negeri (DUN) Johor, Datuk Dr Mohd Puad Zarkashi mengesahkan warta pembubaran DUN Johor telah dihantar kepada Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) pada Selasa.

Perkara itu dimaklumkan Mohd Puad yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Rengit ketika dihubungi.

Surat berkenaan memaklumkan mengenai pembubaran DUN Johor telah mendapat perkenan Pemangku Sultan Johor, Tunku Mahkota Ismail.

“Sehubungan itu, satu notis pemasyhuran memansuhkan dewan berkenaan telah dikemukakan kepada SPR hari ini.

“Dimaklumkan bahawa Duli Yang Amat Mulia Tunku Mahkota Ismail, Pemangku Sultan Johor telah berkenan membuat pemasyhuran memansuhkan Dewan Negeri Johor pada 1 Jun 2026,” katanya dalam surat rasmi kepada Pengerusi SPR tersebut.

Sebelum itu, Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) dilaporkan akan mengadakan Mesyuarat Khas bagi urusan Pilihan Raya Negeri (PRN) Johor sebaik sahaja menerima pemakluman rasmi mengenai pembubaran Dewan Undangan Negeri (DUN) Johor daripada Speaker Dewan negeri itu.

Pengerusi SPR, Datuk Seri Ramlan Harun berkata, mesyuarat khas itu akan membincangkan tarikh-tarikh penting bagi PRN berkenaan.

Pada petang Isnin, Menteri Besar Datuk Onn Hafiz Ghazi pada sidang media khas di kediaman rasmi beliau di Saujana di Johor Bahru mengumumkan DUN Johor dibubarkan berkuat kuasa hari ini bagi memberi laluan kepada pelaksanaan PRN.

Beliau berkata pembubaran itu dilakukan selepas mendapat titah perkenan daripada Pemangku Sultan Johor Tunku Mahkota Ismail dalam satu majlis menghadap yang berlangsung pada Isnin.

Scroll to Top