ferzalfie@hmetro.com.my
Kuala Lumpur: Skuad hoki lelaki negara enggan memandang rendah ancaman Bangladesh menjelang aksi pembukaan Piala Asia 2025 di Rajgir, India, esok.
Speedy Tigers diundi dalam Kumpulan B bersama Bangladesh, Korea Selatan dan Taiwan dengan hanya dua pasukan terbaik layak ke Super 4.
Pemain tengah negara, Fitri Saari menegaskan pertemuan pertama esok amat penting kerana bakal menentukan langkah awal pasukan dalam memburu tiket ke kelompok empat terbaik (Super 4).
“Perlawanan dengan Bangladesh ini paling penting. Kita kena dapatkan tiga mata penuh kerana mereka juga mampu memberi tentangan. Jadi kita perlu fokus penuh dari awal,” katanya.
Speedy Tigers akan membuka kempen menentang Bangladesh pada 11.30 esok, diikuti menentang Korea Selatan pada Sabtu sebelum melengkapkan aksi kumpulan bertemu Taiwan pada Isnin.
Untuk rekod, Korea Selatan muncul juara edisi 2022 di Jakarta selepas menewaskan Malaysia 2-1 di final.
Skuad negara pernah dua kali mara ke final iaitu pada 2017 dan 2022, namun tewas kepada India dan Korea Selatan dengan keputusan sama, 2-1.
Fitri menambah, semua pemain berada pada tahap kecergasan terbaik dan bersemangat untuk mengharungi kejohanan kali ini.
“Kami harap dapat kemenangan, kalau boleh dengan jaringan besar. Tapi yang penting tiga mata dulu,” katanya.
© New Straits Times Press (M) Bhd
