SPRM arah kolam takungan banjir diukur semula – Utusan Digital

KUALA LUMPUR: Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) diarahkan supaya melantik juruukur dan jurunilai bertauliah bagi mengukur semula keluasan sebenar Kolam Takungan Banjir Sungai Jinjang yang diambil untuk tujuan pembangunan.

Penegasan itu dibuat Ketua Pesuruhjaya Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM), Tan Sri Azam Baki ketika tinjauan mengejut beliau ke lokasi kolam takungan berkenaan di Taman Wahyu dekat sini hari ini bersama-sama Datuk Bandar Kuala Lumpur, Datuk Seri Mahadi Che Ngah dan Ketua Pengarah Jabatan Pengairan dan Saliran (JPS), Datuk Ir. Dr. Md Nasir Md Noh.

Tegas beliau, perkara itu merupakan satu tindakan teknikal yang perlu dilaksanakan oleh DBKL bagi memastikan sama ada kolam berkenaan telah ditimbus menjadi sebahagian daripada pembangunan yang dilaksanakan pemaju.

“Ada pertikaian bahawa kolam ini tidak mampu menampung lebihan air apabila arahan pembangunan dikeluarkan pada 2015. Malah ada dakwaan mengenai kolam ini ditutup (ditimbus).

“Mengikut JPS, kolam ini tidak boleh ditutup kerana ia adalah kolam tadahan air. Jadi, kita minta DBKL untuk melantik juruukur segera untuk mengukur tasik serta pembangunan yang dibuat,” katanya ketika ditemui di sini hari ini.

Mengulas lanjut, kata Azam, siasatan awal turut mendapati kolam berkenaan tidak ditimbus atau ditambak seperti yang didakwa oleh pihak tertentu.

Namun begitu, jelas beliau, pihaknya tidak boleh membuat sebarang kesimpulan dan perlu menunggu laporan daripada pihak DBKL mengenai perkara itu.

“Penilaian berkenaan akan dilakukan dengan kadar segera dan laporan berkenaan kemungkinan mengambil masa di antara dua sehingga tiga minggu untuk dilengkapkan memandangkan banyak perkara teknikal yang perlu dilihat,” jelasnya.

Terdahulu, siasatan telah dijalankan SPRM berhubung dakwaan enam kolam takungan banjir di sekitar Kuala Lumpur diluluskan ditukar status untuk projek pembangunan.

Siasatan itu dilakukan selepas Ahli Parlimen Segambut, Hannah Yeoh menggesa SPRM mengambil tindakan segera berhubung perkara itu yang bertentangan dengan matlamat sebenar keperluan kolam terbabit.