Sri Pahang mahu tebus kecewa musim lalu

Sri Pahang mahu tebus kecewa musim lalu

sukan@hmetro.com.my

Kuantan: Penjaga gol Sri Pahang FC, Zarif Irfan Hashimuddin mahu menebus kekecewaan musim lalu, sekali gus merealisasikan impian skuad itu untuk melangkah lebih jauh dalam saingan Piala Malaysia musim 2024/2025.

Pemain berusia 29 tahun itu, berkata jika musim lalu skuad Tok Gajah disekat Kuala Lumpur (KL) City FC untuk melangkah ke separuh akhir, pencapaian lebih baik diidamkan pada kali ini.

“Musim lalu kami juga layak ke suku akhir dalam saingan piala berprestij ini, sudah tentu kami mahu memperbaiki pencapaian itu.

“Lebih-lebih lagi kami menewaskan Selangor FC yang juga sebuah pasukan yang kuat pada pusingan 16 yang diharap memberi aura, motivasi dan semangat apabila berdepan Perak FC pada 13 Disember ini.

“Biarpun beraksi pada perlawanan pertama di Stadium Majlis Perbandaran Manjung, kami akan mempamerkan prestasi terbaik dan tidak boleh melepaskan segala peluang yang dimiliki,” katanya.

Musim lalu, skuad kendalian Fandi Ahmad itu gagal ke separuh akhir selepas tewas 1-2 menerusi agregat kepada KL City FC.

Kejayaan menewaskan Red Giants sudah pasti meningkatkan lagi moral pemain Tok Gajah untuk meneruskan aksi cemerlang dalam saingan piala berprestij itu.

Ini kerana kali terakhir Sri Pahang melangkah ke final dan muncul juara piala berprestij itu pada 2014.

© New Straits Times Press (M) Bhd

Scroll to Top