am@hmetro.com.my
Yong Peng: Suruhanjaya Syarikat Malaysia (SSM) akan menggantikan semula Sijil Perakuan Pendaftaran Perniagaan kepada pemilik perniagaan yang musnah akibat banjir secara percuma.
Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN), Datuk Seri Salahuddin Ayub berkata, peniaga yang kehilangan sijil berkenaan dalam kejadian banjir seluruh negara, boleh terus datang ke Pejabat KPDN terdekat untuk tujuan itu.
Katanya ia sebagai inisiatif dan usaha kerajaan untuk membantu mangsa banjir di kalangan peniaga.
“Kementerian ingin memaklumkan, kepada mana mana mangsa banjir yang kehilangan Sijil Perakuan Pendaftaran Perniagaan mereka musnah, maka jangan bimbang.
“SSM akan menggantikannya secara percuma, jadi kalau ada kehilangan atau musnah, rosak semasa banjir ini, mereka boleh datang untuk menggantikan sijil mereka di Pejabat KPDN secara percuma. Ini antara ikhtiar kita, “katanya selepas membuat lawatan di Pusat Pemindahan Sementara (PPS) Dewan Orang Ramai Pekan Parit Yaani, di sini, hari ini.
Katanya, KPDN juga memohon bantuan rakan strategik seperi Mydin, Lotus’s, Marry Brown, Econsave, Lazada, Shopee, dan beberapa pemain industri yang lain untuk mereka menghantar bantuan segera.
Katanya ia untuk membantu meringankan beban mangsa banjir pada kali ini.
“Alhamdulilah pemain industri dan rakan-rakan strategik telah dengan segera menghulurkan bantuan dalam bentuk makanan, selimut, bantal, yang diperlukan di saat musim sejuk semasa banjir.
“Sebanyak 5,000 bungkusan Bakul Rahmah dan Food Bank sudah diedarkan dan ianya akan diteruskan penghantaran setiap PPS di seluruh negara, “katanya.
© New Straits Times Press (M) Bhd




