Standard aksi final rendah- Owen

Standard aksi final rendah- Owen

London: Final Liga Europa yang menemukan dua pasukan di atas garis penyingkiran Liga Perdana Inggeris, Manchester United dan Tottenham Hotspur, dinanti-nantikan sebahagian peminat seperti pertembungan dua pasukan terbaik Eropah.

Namun sebaik wisel sepak mula ditiup, ia berlangsung penuh hambar, sama seperti prestasi kedua-dua pasukan itu sepanjang musim dalam saingan domestik.

Tottenham yang dianggap pasukan ‘underdog’ dalam perlawanan itu, meledak gol kemenangan menerusi Brennan Johnson pada minit ke-42, dan skuad kendalian Ange Postecoglou sekadar mempertahankan kelebihan itu sehingga wisel penamat.

Spurs layak ke Liga Juara-Juara Eropah musim depan dengan kemenangan itu, situasi yang dikritik ramai termasuk bekas pengendali legenda Arsenal, Arsene Wenger dan wartawan British, Piers Morgan.

“Ini mungkin permainan dengan kualiti terburuk dalam sejarah final bola sepak Eropah. Sangat mengejutkan – dan salah satu daripada mereka akan berada di Liga Juara-Juara Eropah musim depan,” kata Morgan.

Sebelum perlawanan, Wenger menyatakan tidak sepatutnya salah satu daripada pasukan di tangga ke-16 dan 17 Liga Perdana Inggeris layak berada di pentas tertinggi Eropah musim depan.

Bekas penyerang Liverpool, Real Madrid dan England, Michael Owen juga kecewa dengan persembahan kedua-dua pasukan di San Mames, Bilbao itu.

“Sukar untuk dipercayai betapa rendahnya standard perlawanan ini. Tidak satu pasukan pun mampu membuat tiga hantaran berturut-turut,” kata bekas pemenang Ballon d’Or itu.

© New Straits Times Press (M) Bhd

Scroll to Top