Status pelarian 78 tahanan Rohingya diluluskan! 25 orang layak diambil bekerja – Saifuddin Nasution

Status pelarian 78 tahanan Rohingya diluluskan! 25 orang layak diambil bekerja – Saifuddin Nasution

Seramai 78 tahanan etnik Rohingya yang ditempatkan di Pusat Pengasingan Khas Pelarian dan Pemohon Suaka (PPKPPS) Bidor, Perak diluluskan status pelarian menerusi Program Dokumen Pendaftaran Pelarian (DPP) setakat Jun lalu.

Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail berkata, kelulusan itu melibatkan 77 lelaki dan seorang wanita dewasa daripada 128 etnik Rohingya yang dipindahkan ke pusat pengasingan khas berkenaan.

“Proses pembebasan mereka akan dilaksanakan sebaik semua urusan berkaitan diselesaikan mengikut prosedur yang ditetapkan.
“Sebagai projek rintis, Program Pekerjaan DPP turut dilaksanakan membabitkan 78 individu diluluskan status pelarian itu dengan 25 individu dikenal pasti layak untuk diambil bekerja,” katanya dalam jawapan bertulis bagi pertanyaan lisan yang disiarkan di laman sesawang Parlimen.

Beliau menjawab soalan Teresa Kok (PH-Seputeh) yang meminta penjelasan mengenai status pelaksanaan Program DPP serta jumlah pelarian yang telah mendapat kebenaran bekerja di negara ini.

Menurut Saifuddin, Fasa 1 Program DPP memberi tumpuan kepada tahanan majoriti warganegara Myanmar etnik Rohingya di Depot Tahanan Imigresen (DTI) seluruh Semenanjung Malaysia.

“Jumlah keseluruhan tahanan yang didatakan adalah seramai 4,010 orang, merangkumi seramai 4,008 warganegara Myanmar, serta masing-masing seorang warganegara Sudan dan Syria.
“Jumlah ini membabitkan seramai 2,746 orang tahanan lelaki dewasa, 632 orang tahanan perempuan dewasa, 392 orang kanak-kanak lelaki dan 240 orang kanak-kanak perempuan.
“Kumpulan ini akan dipindahkan secara berfasa ke PPKPPS, Bidor Perak yang mempunyai kapasiti operasi seramai 400 orang tahanan pada satu-satu masa bagi menjalani proses Penentuan Status Pelarian (PSP),” jelasnya.

Tambah beliau, Fasa 2 Program DPP pula melibatkan pendaftaran individu pemegang kad Suruhanjaya Tinggi Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu bagi Pelarian (UNHCR) serta individu yang mengaku sebagai pelarian tetapi berada di luar DTI.

“Proses akan dilaksanakan di pusat-pusat penentuan status pelarian yang akan diumumkan kelak.
“KDN menyasarkan proses pendaftaran ke atas golongan ini diselesaikan sepenuhnya pada 31 Disember 2029,” ujarnya.

Saifuddin berkata, pendaftaran Program DPP dilaksanakan oleh unit khas iaitu Task Force Pendaftaran Pelarian (TPP) di Jabatan Imigresen Malaysia (JIM).

Menurutnya, masa ini proses pendaftaran dilaksanakan sepenuhnya oleh pihak JIM dan tidak membabitkan pertubuhan bukan kerajaan (NGO).

Scroll to Top