WASHINGTON – Pentadbiran Presiden Donald Trump dilaporkan semakin bimbang terhadap kadar penggunaan peluru berpandu pertahanan dan senjata berpandu tepat Amerika Syarikat (AS) yang semakin tinggi dalam konflik dengan Iran sehingga memberi tekanan kepada simpanan ketenteraan negara itu.
Menurut pegawai tentera dan perisikan AS yang dipetik CBS News, stok peluru berpandu canggih semakin menyusut, manakala industri pertahanan negara itu tidak mampu menggantikan bekalan pada kadar yang sepadan dengan penggunaan semasa.
Mereka berkata, keadaan itu menimbulkan kebimbangan terhadap kesiapsiagaan tentera AS sekiranya tercetus konflik lain, khususnya di rantau Indo-Pasifik yang melibatkan China.
Pegawai berkenaan mengakui AS tidak mampu mengekalkan kadar penggunaan peluru berpandu berpandu tepat seperti pada peringkat awal kempen ketenteraan terhadap Iran.
Situasi itu memaksa Pentagon menukar strategi dengan lebih banyak menggunakan bom berpandu GPS Joint Direct Attack Munition (JDAM) dan Small Diameter Bomb (SDB), manakala peluru berpandu jarak jauh seperti Tomahawk dan Joint Air-to-Surface Standoff Missile (JASSM) kini digunakan secara lebih terhad bagi menjimatkan stok.
Panglima Pemerintahan Indo-Pasifik AS, Laksamana Samuel Paparo sebelum ini memberi amaran bahawa pengeluaran sistem persenjataan berteknologi tinggi seperti Tomahawk dan JASSM memerlukan antara satu hingga dua tahun untuk ditingkatkan, sekali gus tidak mampu memenuhi keperluan segera sekiranya konflik berlarutan.
Menurut laporan itu lagi, kebimbangan paling besar kini tertumpu kepada stok peluru berpandu pemintas Patriot dan Terminal High Altitude Area Defense (THAAD) yang digunakan bagi memintas serangan peluru berpandu balistik, peluru berpandu kruis dan dron Iran.
Bagi menyokong operasi di Asia Barat, Pentagon turut memindahkan sebahagian stok pemintas dari wilayah lain termasuk Indo-Pasifik, menyebabkan margin simpanan di rantau tersebut semakin mengecil ketika Washington berusaha mengekang pengaruh ketenteraan China, khususnya di sekitar Taiwan.
Bagaimanapun, jurucakap Pentagon, Sean Parnell menegaskan tentera AS masih memiliki keupayaan mencukupi untuk melaksanakan operasi di mana-mana sahaja mengikut arahan Presiden Trump serta terus melindungi kepentingan negara itu.
Laporan Center for Strategic and International Studies (CSIS) sebelum ini menganggarkan lebih 1,000 peluru berpandu Tomahawk dan 1,100 JASSM telah digunakan sepanjang konflik, manakala tempoh untuk menggantikan sebahagian besar stok berkenaan boleh mengambil masa sehingga empat tahun.
Pusat kajian itu turut memberi amaran bahawa bekalan peluru berpandu pemintas THAAD, Patriot dan SM-3 kini berada di bawah tekanan hebat kerana tempoh pengeluaran baharu boleh mencecah lima tahun, sekali gus menimbulkan persoalan terhadap keupayaan AS mengekalkan operasi ketenteraan berskala besar di lebih daripada satu medan perang pada masa yang sama. -Agensi



