Suami tetak isteri dipercayai cemburu kerana bercakap dengan jiran lelaki

Suami tetak isteri dipercayai cemburu kerana bercakap dengan jiran lelaki

am@hmetro.com.my

Kota Marudu: Suri rumah berusia 40 tahun parah dipercayai ditetak suaminya dengan parang di rumah mereka di Kampung Mangkupa, Jalan Popok di sini, hari ini.

Ketua Polis Daerah Kota Marudu, Superintendan Simiun Lomudin berkata, polis menerima maklumat mengenai kejadian pada 9.06 pagi.

Katanya, siasatan awal mendapati kejadian dipercayai berpunca daripada perasaan cemburu suspek, 50, yang menuduh isterinya mempunyai hubungan sulit dengan jiran lelaki selepas melihat mangsa bertegur sapa dengan mereka.

“Pada kira-kira 8.30 pagi, mangsa keluar ke halaman rumah sebelum ditegur suspek agar tidak berbual dengan jiran lelaki. Mangsa menafikan dakwaan tersebut dan berlaku pertengkaran mulut antara mereka.

“Saksi yang berada di dalam rumah kemudian melihat suspek mengambil sebilah parang dari dapur dan menuju ke arah mangsa sebelum merebahkan mangsa serta meletakkan parang di lehernya.

“Saksi kemudiannya bersembunyi bersama anak-anak mangsa dan hanya mendengar mangsa menjerit meminta pertolongan,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Mengulas lanjut, Simiun berkata, beberapa minit kemudian, jiran mangsa yang baru pulang dari ladang getah menemui mangsa dalam keadaan berlumuran darah di hadapan rumah jiran dan menghubungi talian kecemasan.

Katanya, akibat serangan, mangsa mengalami 14 kesan luka akibat ditetak, antaranya di leher, bawah dagu, kedua-dua lengan dan tapak tangan, kening serta lutut kanan.

“Mangsa kini berada dalam keadaan stabil dan akan dirujuk ke Hospital Queen Elizabeth I, Kota Kinabalu untuk rawatan lanjut,” katanya.

Beliau berkata, siasatan lanjut mendapati mangsa sudah berkahwin dengan suspek yang juga warga Indonesia bekerja sebagai penoreh getah selama 19 tahun dan mempunyai enam anak.

Menurutnya, usaha memburu suspek sedang giat dijalankan dan kes disiasat mengikut Seksyen 326 Kanun Keseksaan.

© New Straits Times Press (M) Bhd

Scroll to Top