am@hmetro.com.my
Kuala Lumpur: Enam individu termasuk tiga wanita yang dipercayai terbabit sindiket penipuan pelaburan minyak wangi ditahan polis dalam serbuan di sebuah premis di KL Eco City, di sini, semalam.
Serbuan dilakukan Bahagian Siasatan Jenayah Komersil Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Sentul dengan kerjasama Jabatan Siasatan Jenayah Komersil (JSJK) Kuala Lumpur.
Ketua Polis Daerah Sentul, Asisten Komisioner Basri Sagoni berkata, tiga lelaki dan tiga wanita tempatan berusia antara 23 hingga 47 tahun itu ditahan bagi membantu siasatan lanjut.
Katanya, siasatan awal mendapati semua individu itu mempunyai peranan masing-masing dalam pengurusan dan operasi sindiket berkenaan yang mensasarkan warga tempatan sebagai mangsa.
“Mereka yang ditahan dibawa ke IPD Sentul untuk tindakan lanjut dan direman selama dua hari mengikut Seksyen 117 Kanun Prosedur Jenayah bagi membantu siasatan,” katanya dalam kenyataan, hari ini.
Menurutnya, pihaknya merampas enam telefon bimbit, seunit komputer, satu Unit Pemprosesan Pusat (CPU), kad ATM/debit, kad keahlian, dokumen pemasaran, dokumen syarikat serta pelbagai stok produk minyak wangi dan barangan berkaitan perniagaan.
“Kes disiasat mengikut Seksyen 420 Kanun Keseksaan kerana menipu,” katanya.
Basri berkata, orang ramai dinasihatkan supaya sentiasa berwaspada dan tidak mudah terpedaya dengan sebarang tawaran pelaburan menjanjikan pulangan lumayan dalam tempoh singkat.
Katanya, mereka yang mempunyai maklumat berkaitan kegiatan penipuan pelaburan itu boleh menghubungi Hotline Polis Sentul di talian 03-4048 2222 atau mana-mana balai polis berhampiran untuk membantu siasatan.
© New Straits Times Press (M) Bhd


