MAKASSAR – Polis Indonesia menahan seorang lelaki selepas dipercayai menikam isterinya sehingga maut dalam kejadian di sebuah rumah sewa di Kecamatan Tamalate, Kota Makassar, Sulawesi Selatan.
Suspek dikenali sebagai SH, 21, ditahan dan didakwa membunuh isterinya, AN, 24, yang ditemukan tidak bernyawa di bilik sewa pasangan itu pada malam Ahad.
Ketua Unit Siasatan Jenayah (Kanit Reskrim) Balai Polis Tamalate, Iptu Abdul Latif berkata, siasatan awal mendapati suspek bertindak kerana menyimpan perasaan sakit hati selepas mendakwa sering menerima kata-kata kesat daripada mangsa.
Menurutnya, pertelingkahan rumah tangga pasangan berkenaan dipercayai berpunca daripada masalah kewangan apabila mangsa dikatakan kerap mendesak suaminya mendapatkan pekerjaan dengan pendapatan lebih tinggi.
“Motif pembunuhan ini adalah sakit hati. Menurut keterangan suspek, dia sering dimarahi dan dimaki oleh isterinya.
“Punca awalnya berkaitan masalah ekonomi kerana mangsa sering menuntut suaminya mencari pekerjaan dengan gaji lebih tinggi,” katanya kepada wartawan pada Selasa.
Abdul Latif berkata, hubungan pasangan itu juga dilaporkan sering bergolak, termasuk akibat rasa cemburu mangsa selepas mendapati terdapat kesan seperti ciuman pada leher suspek yang menimbulkan syak wasangka berlaku kecurangan.
Insiden pembunuhan itu dipercayai berlaku ketika kedua-duanya bertengkar di dalam bilik sewa mereka sebelum suspek bertindak menyerang mangsa menggunakan sebilah senjata tajam jenis badik (senjata tradisional masyarakat Bugis-Makassar).
“Suspek tidak dapat menerima kata-kata kesat yang dilemparkan isterinya sebelum bertindak menikam mangsa. Setakat ini, kecederaan yang dikenal pasti pada mangsa ialah di bahagian leher,” katanya.
Polis turut merampas senjata tajam dipercayai digunakan dalam kejadian tersebut sebagai barang bukti.
Ketika ditahan, suspek pada awalnya mendakwa berlaku pergelutan dan kejadian tikam-menikam antara mereka.
Bagaimanapun, selepas disoal siasat secara mendalam, dia mengaku kecederaan pada dirinya dilakukan sendiri bagi mengelirukan siasatan.
Berdasarkan siasatan awal, polis menetapkan SH sebagai suspek utama kes berkenaan dan mendakwanya mengikut Pasal 458 ayat (2) Undang-Undang Nombor 1 Tahun 2023 Kanun Keseksaan Indonesia yang memperuntukkan hukuman penjara sehingga 20 tahun jika sabit kesalahan.
Sebelum ini, penduduk setempat digemparkan dengan penemuan mayat AN di dalam bilik sewa pasangan itu sebelum kejadian dilaporkan kepada pihak berkuasa.
“Kami menerima maklumat daripada orang awam mengenai kejadian yang disyaki pembunuhan dan mendapati mangsa sudah terbaring di atas lantai dengan kecederaan pada leher,” kata Abdul Latif.
Ketika mangsa ditemukan, suaminya tidak berada di lokasi, sekali gus mendorong polis melancarkan siasatan yang akhirnya membawa kepada penahanan suspek. – Agensi



