Sukan SEA: Utamakan persiapan karate, silat – Hamidin

source_img
Share on facebook
Share on twitter
Share on email
Share on whatsapp

KUALA LUMPUR – Ketua kontinjen negara ke Sukan SEA 2021 Datuk Hamidin Mohd Amin mahu persiapan pasukan karate dan silat diberi keutamaan untuk temasya dwitahunan di Hanoi, Vietnam yang akan membuka tirai pada 21 Nov hingga 3 Dis ini.

Beliau berkata ini kerana kedua-dua jenis sukan itu tidak pernah gagal menyumbang pingat emas untuk kontinjen Malaysia di Sukan SEA sebelum ini.

Pada temasya di Manila, Filipina dua tahun lepas, pasukan silat meraih dua pingat emas dan dua gangsa manakala karate membawa pulang empat emas dan empat perak.

Hamidin berkata beliau mengadakan perbincangan dengan tiga presiden dan dua setiausaha persatuan sukan negara untuk persiapan Sukan SEA 2021, semalam.

Mesyuarat itu dihadiri oleh Presiden Persekutuan Snuker dan Billiard Malaysia (MSBF) Melvin Chia See Oon, Presiden Persekutuan Petanque Malaysia (PPM) Datuk Radzi Mansor, Presiden Persekutuan Lawan Pedang Malaysia (MFF) Rusni Abu Hassan, Setiausaha Agung Persekutuan Karate Malaysia (MAKAF) Datuk Nur Azmi Ahmad dan Setiausaha Agung Persekutuan Silat Kebangsaan Malaysia (PESAKA) Datuk Megat Zulkarnain Omardin.

“Oleh kerana kedua-dua sukan snuker dan billiard, dan lawan pedang tidak berada di bawah program pembangunan Majlis Sukan Negara, kami akan membantu MSBF dan MFF untuk mandapatkan pusat latihan dan jurulatih dalam persiapan akhir mereka menjelang Temasya Sukan SEA ke-31 di Vietnam,” katanya dalam hantaran menerusi Facebook Majlis Olimpik Malaysia (MOM) hari ini.

Hamidin juga berharap MOM dapat memainkan peranan dalam menyelesaikan isu antara PPM dengan badan induknya di Asia (Asian Boules Sports Confederation) dan antarabangsa (World Federation of Petanque).- BERNAMA